KEPIMPINAN
PENGENALAN

Untuk mencapai tranformasi pengajian tinggi seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, peranan kepimpinan di IPT amat penting.  Dalam hubungan ini, aspek kepimpinan yang perlu diberi keutamaan adalah yang berikut:

»
Mengenal pasti dan memperincikan peranan pemimpin di IPT.
»
Membentuk proses yang sesuai dalam pemilihan pembangunan, penilaian dan pembaharuan pengurusan atasan universiti.
»
Membangunkan program yang mampu melahirkan ramai bakat (program latihan dan program kakitangan pelapis)
Peranan pentadbiran LPU, Senat dan Naib Canselor perlu didefinasikan dengan jelas bagi memudahkan pelaksanaan dan melicinkan pentadbiran universiti.  Selain itu, untuk mencapai perubahan seperti yang diingini, pemimpin unggul hendaklah dizahirkan dan Naib-naib Canselor memainkan peranan utama dalam menggerakan perubahan.
 

Untuk menjayakan Pelan Tindakan ini, pemimpin universiti mesti benar-benar faham tentang peranan universiti dan dapat membentuk visi dan misi serta berusaha ke tahap yang lebih gemilang dan terbilang.

Pada masa yang sama, pemimpin universiti mesti menerima perubahan yang dapat meningkatkan sumber kewangan, system tadbir urus, dan sistem penyampaian terbaik.  Di universiti yang kompetitif, fungsi seperti mengkomersialkan penyelidikan dan pembangunan serta pengumpulan dana harus diberi fokus baharu kerana hal ini dapat membuka lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan.  Kejayaan ini banyak bergantung pada kecekapan pemimpin, terutamanya, mengenal pasti fungsi kritikal, mengambil dan membangunkan kakitangan utama pada pelbagai peringkat untuk dijadikan agen perubahan.

Daya tahan dan daya saing IPT amat bergantung pada usaha menginstitusikan proses kepimpinan universiti terutama dalam aspek pemilihan, pembangunan, penilaian dan pembaharuan.

TUJUAN

Proses pembangunan kepimpinan akan mengenalpasti ekangan dengan menyediakan latihan dan mengadaptasikan amalan terbaik institusi terkenal luar negara. Program khusus untuk meningkatkan keberkesanan LPU, perancangan strategic, pengurusan , pengkomersialan R & D serta perubahan budaya akan direka untuk membantu pemimpin IPTA dan IPTS.  Untuk tujuan ini, Akademik Kepemimpinan Pengajian Tinggi (AKePT) akan ditubuhkan pada penghujung tahun 2007.

Untuk memastikan akauntabiliti, proses penilaian objektif perlu dibuat menerusi KPI bagi mencapai matlamat perubahan dan keharmonian serta ketahanan kepimpinan IPT untuk jangka masa panjang.

Dalam konteks ini, semua pemimpin bertanggungjawab memacu institusi mereka kearah kecemerlangan.  Beberapa IPT sedang berusaha untuk tersenarai antara 100 IPT terbaik di dunia. Manakala IPT yang lain pula meneruskan usaha menyediakan akses yang lebih luas kepada pelajar dan meningkatkan kualiti pengajian tinggi mereka.

Pemimpin IPT perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar demi memastikan IPT terus cemerlang menerusi proses transformasi ini.

Proses kepemimpinan yang holistik hanya boleh dilaksanakan dengan lancar melalui perancangan yang sempurna.  Pemimpin pelapis perlu dikenalpasti lebih awal dan diperkenalkan dengan program pembangunan kepemimpinan AKePT.  Pemimpin yang terbukti cemerlang akan disenaraikan sebagai contoh pemimpin dan akan memikul cabaran yang lebih besar di IPT.

MATLAMAT
»
Pelantikan pemimpin di IPT adalah daripada calon terbaik dan memahami dasar dan aspirasi Negara sepenuhnya.      
»
Kelestarian kualiti kepemimpinan IPT berada pada tahap tertinggi menerusi penilaian berterusan ke atas pengalaman pemimpin berdasarkan penanda aras antarabangsa
»
Pemimpin IPT mendapat peluang menjalani program profesional dalam bidang pembangunan kepemimpinan