PEMBANGUNAN PELAJAR
Pembangunan Sahsiah Pelajar Holistik
Negara mengharapkan graduan atau modal insan yang mempunyai ciri yang seimbang sama ada dari segi intelek, kepakaran, kemahiran, emosi, dan nilai murni. Justeru, KPT akan memperkenalkan program holistik yang merentasi semua disiplin kursus di IPT tempatan dan juga kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dengan memberikan fokus kepada tujuh teras kemahiran insaniah (KI) iaitu:
 
»
Kemahiran komunikasi
 
»
Kemahiran pemikiran kritis
 
»
Kemahiran kerja kumpulan
 
»
Kemahiran pembelajaran sepanjang hayat
 
»
Kemahiran keusahawanan
 
»
Kemahiran etika keprofesionalan
 
»
Kemahiran kepimpinan
     
Program sedemikian bertujuan untuk membina keterampilan diri semua pelajar dengan memberikan pendedahan kepada subjek di luar bidang pengkhususan mereka. Hasil yang diharapkan ialah graduan yang boleh berfikir secara kritikal, mempunyai kemahiran komunikasi dan berbahasa Inggeris dengan cemerlang serta ICT dijadikan asas umum kepada semua graduan tanpa mengira pengkhususan masing-masing.
     

Dari aspek ini, BHEPP bertanggungjawab menetapkan hala tuju dan menyediakan pelan tindakan strategik dalam aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program pembangunan sahsiah pelajar IPTA, IPTS, pelajar Malaysia di luar negara dan pelajar antarabangsa di Malaysia yang berjumlah 895,505 orang iaitu 403,009 pelajar IPTA, 377,350 IPTS, 54915 pelajar Malaysia di luar negara dan 60,231 pelajar antarabangsa di IPTA dan IPTS. Bilangan pelajar ini dijangka meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020 selaras dengan matlamat KPT bagi meningkatkan akses pengajian tinggi kepada rakyat Malaysia.

     
Fungsi ini digariskan dengan jelas di bawah Teras 2 PSPTN – memperkasa pengajaran dan pembelajaran dan Agenda Kritikal KPT No. 17 – Pembangunan Sahsiah Pelajar Holistik.