RANCANGAN MALAYSIA KE 6
 

PENDIDIKAN DAN LATIHAN

 

Teras keseluruhan pendidikan dan latihan ialah untuk meningkatkan aksesibiliti melalui penyediaan kemudahan tambahan, meningkatkan kualiti menerusi pembaikan kurikulum dan bahan-bahan pembelajaran, di samping memajukan sistem penyampaian dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tenaga pengajar. Bagi tempoh akhir Rancangan, program pendidikan dan latihan akan terus diperluas dan dipertingkatkan. Untuk menampung pertambahan ini, pembinaan kemudahan di pelbagai peringkat akan dilaksanakan.

Di peringkat rendah dan menengah, 12,000 bilik darjah baru akan dibina untuk menampung keperluan tambahan bagi 480,000 pelajar. Bilik-bilik darjah ini akan membantu mengurangkan kesesakan di sekolah dalam bandar dan menggantikan kemudahan yang usang di luar bandar. Selaras dengan keperluan untuk meningkatkan tenaga manusia dalam bidang sains dan teknologi, lapan sekolah menengah teknik yang baru akan dibina dan kemudahan untuk sembilan sekolah teknik sedia ada dan 38 sekolah menengah vokasional akan dinaikkan taraf untuk membolehkan lebih ramai pelajar mengambil mata pelajaran elektif sains, vokasional dan kejuruteraan. Bagi meningkatkan penyertaan kanak-kanak cacat dan mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, sebanyak 11 sekolah khas yang baru akan dibina untuk kira-kira 1,320 kanak-kanak cacat pendengaran dan cacat penglihatan.

Program latihan guru akan diperluaskan untuk mengeluarkan bilangan guru yang mencukupi bagi menampung pertambahan enrolmen pelajar serta mengurangkan saiz kelas di kawasan bandar. Bagi mencapai matlamat ini, 30 maktab-perguruan sedia ada akan terus melatih guru di peringkat rendah, di samping memperluaskan kursus diploma pendidikan kepada siswazah. Keupayaan maktab perguruan teknik akan ditingkatkan untuk memenuhi permintaan terhadap guru tersebut. Enam buah maktab perguruan baru akan dibina untuk mengurangkan kesesakan di maktab-maktab sedia ada.

Kemasukan ke institusi pendidikan tinggi akan ditingkatkan dengan pembesaran institusi sedia ada dan penambahan kemudahan baru. Ini termasuk menyiapkan Fasa 1 Kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak dan kampus cawangan Institut Teknologi MARA (ITM) di Macang. Di samping itu, empat politeknik di Dungun, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan Shah Alam serta Kampus ITM di Merbuk akan dibina. Pelan Induk akan juga disediakan untuk kampus cawangan ITM di Pulau Pinang, komplek perubatan UIA di Kuantan dan kampus tetap UNIMAS di Samarahan. Apabila siap kelak, institusi ini akan dapat menyediakan sejumlah 47,000 tempat tambahan di peringkat pendidikan tinggi.

Kerajaan juga akan menyediakan satu rancangan jangka panjang bagi pendidikan tinggi. Pembangunan negara seperti yang dihasratkan oleh Wawasan 2020 akan mewujudkan pertambahan permintaan terhadap tenaga manusia yang memiliki tahap pendidikan yang lebih tinggi. Enrolmen di peringkat tinggi seharusnya mencapai 20 peratus daripada kumpulan umur 19-24 tahun menjelang tahun 2020, berbanding dengan hanya 7.3 peratus dalam tahun 1990. Sektor swasta akan memainkan peranan yang lebih besar dalam penyediaan pendidikan di peringkat tinggi. Institusi latihan yang sekarang ini dikendalikan oleh syarikat besar seperti PETRONAS, TNB dan Telekom Malaysia akan juga dinaikkan taraf menjadi institusi pendidikan tinggi dengan tenaga pengajar yang berkelayakan.