AKTIVITI PELAJAR

 
s
1) PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM) PIALA PERDANA MENTERI

Kerajaan menyokong segala usaha dan iltizam yang dipelopori dalam merealisasikan jalinan hubungan bahasa dan kesusasteraan Melayu di peringkat antarabangsa sesuai dengan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang signifikan di dunia melalu pelbagai rangkaian kerjasama secara institusional dan rasmi.

Kerajaan juga serius untuk memainkan peranan yang dominan di pentas dunia ke arah masa depan dunia yang lebih aman, harmoni dan sejahtera. Bagi memartabatkan lagi Bahasa Melayu di mata dunia, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri (dahulunya dikenali sebagai Piala Timbalan Perdana Menteri) dianjurkan sekali setahun dan ini merupakan suatu kejayaan bagi memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke arena antarabangsa.

Peradaban dunia telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diberi darjat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia dan sudah tentunya Bahasa Melayu amat signifikan kepada kepesatan tamadun manusia. Penyertaan dalam pertandingan ini membuktikan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia selain ia diterima sebagai subjek selektif di pelbagai universiti ternama dunia dan sekaligus menjamin sumbangan Bahasa Melayu terhadap pembentukan peradaban dunia.


PABM Piala TPM 2009 (klik disini untuk maklumat lanjut)

PABM Piala PM 2010 (klik disini untuk maklumat lanjut)

2) MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK)

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan merupakan satu platform yang diwujudkan kerajaan semenjak Oktober 1999 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu pengiktirafan terhadap para mahasiswa, untuk mereka memberikan idea dan pandangan mereka, baik dalam apa jua perkara.

MPPK diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media dan diadakan sebanyak 2 kali setahun.Empat orang wakil setiap IPTA/IPTS akan menghadiri mesyuarat MPPK ini yang terdiri daripada Presiden/Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), wakil mahasiswi daripada MPP, wakil kaum minoriti daripada MPP dan pemimpin pelajar yang dilantik oleh Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) IPT.

MPPK sebagai satu landasan di mana Kerajaan Persekutuan dan pemimpin mahasiswa dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) dapat berkongsi pengetahuan dan pendapat mengenai isu semasa yang berlaku dalam negara. Dalam mesyuarat ini, pelajar-pelajar bebas untuk mengemukakan sebarang pendapat dan pertanyaan termasuk perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan dasar-dasar kerajaan.

Sebelum mesyuarat MPPK, satu mesyuarat pra-MPPK diadakan terlebih dahulu sebagai persediaan kepada perwakilan untuk memperhalusi kertas kerja yang akan dibentangkan semasa MPPK bersama Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri. Selain itu ianya juga sebagai ruang untuk menyelesaikan isu-isu pelajar yang melibatkan peringkat pengurusan KPT seperti biasiswa, PTPTN dan kebajikan pelajar.

3) ROBOCON

Robocon adalah sebuah pertandingan robot tahunan di antara pelajar-pelajar universiti, kolej dan politeknik di dalam rantau Asia-Pasifik. Pertandingan ini telah dimulakan pada tahun 2002 dan dianjurkan oleh Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik. Dalam pertandingan tersebut robot yang bertanding dikehendaki melengkapkan satu tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Matlamat pertandingan tersebut adalah untuk mewujudkan semangat kerjasama di kalangan generasi muda yang berkongsi minat yang sama yang akan menerajui negara mereka pada abad ke 21 disamping meningkatkan lagi bidang berkaitan dengan teknologi kejuruteraan dan penyiaran di dalam negara mereka.

Pertandingan Robocon di Malaysia telah diadakan sejak tahun 2002 di mana ianya melibatkan kerjasama di antara agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi, SIRIM Bhd. dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku ahli gabungan Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik. Penglibatan Robocon di Malaysia adalah terdiri daripada Institusi Pengajian Tinggi yang akan menghantar wakil mereka untuk bertanding di peringkat Kebangsaan.

Johan Robocon peringkat Kebangsaan akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang akan dianjurkan oleh negara yang telah dipilih terlebih dahulu. Tema bagi pertandingan setiap tahun adalah pelbagai di mana pada kebiasaannya mengambil tema sosiobudaya asal negara yang akan menjadi tuan rumah pada peringkat antarabangsa. Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Robocon peringkat antarabangsa pada tahun 2006 di mana pertandingan tersebut bertemakan “Building the World’s Tallest Twin Tower”. Robocon peringkat antarabangsa pada tahun 2010 akan memasuku edisi yang ke Sembilan yang akan diadakan di Mesir dengan tema “Where Robo Meets The Civilization Land”.


ROBOCON 2011 (klik disini untuk maklumat lanjut)