Kementerian Pengajian Tinggi merupakan peneraju dalam penyelidikan bersifat fundamental bagi menggalakkan penjanaan ilmu yang mampu menyumbang terhadap peningkatan tahap intelektual, penciptaan teknologi baru dan penyuburan budaya yang dinamik selaras dengan aspirasi negara. Penyelidikan fundamental merupakan penyelidikan asas yang boleh menghasilkan teori, konsep dan idea baru demi perkembangan ilmu.
Di bawah RMKe-9, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperuntukan sebanyak RM200 juta bagi membiayai projek-projek penyelidikan fundamental di Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Universiti Cawangan. Pihak Kementerian telah membuka permohonan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) buat pertama kalinya pada tahun 2006. Sehingga tahun 2010, sebanyak RM85 juta tambahan peruntukan telah diluluskan disebabkan permintaan yang amat menggalakkan. Ini menjadikan peruntukan keseluruhan di bawah RMKe-9 adalah sebanyak RM285 juta.
Penyelidikan fundamental di bawah RMKe-9 telah mencapai objektifnya dalam pembangunan modal insan yang berkualiti selain menggalakkan penjanaan teori, konsep dan idea baru yang dapat menjadi pemangkin kepada penemuan baru dan penciptaan yang inovatif. Sehubungan itu, di bawah RMKe-10, peruntukan dana penyelidikan telah ditingkatkan kepada RM741 juta bagi membiayai 5 program penyelidikan termasuk FRGS. Pembiayaan geran FRGS meliputi bidang-bidang asas yang dapat menyokong agenda strategik negara. Bidang-bidang yang dikenalpasti adalah:-
- Sains Tulen (Pure Science)
- Sains Gunaan (Applied Science)
- Teknologi dan Kejuruteraan (Technology and Engineering)
- Sains Kesihatan dan Klinikal (Clinical and Health Sciences)
- Sains Sosial (Social Sciences)
- Sastera dan Sastera Ikhtisas (Arts and Applied Arts)
- Sains Tabii dan Warisan Negara (Natural Sciences and National Heritage)
Selain pembangunan modal insan, dana penyelidikan FRGS diharap dapat membudayakan penyelidikan fundamental di IPT di samping dapat menjana penemuan penyelidikan sama ada dalam bentuk penemuan ilmu baru, kaedah baru atau pembangunan teknologi baru. Pihak KPT akan sentiasa komited dalam meningkatkan keupayaan R&D, keupayaan saintifik dan keupayaan inovasi negara bagi memastikan budaya penyelidikan fundamental akan terus dikembangkan di setiap IPT.