SKIM GERAN PENYELIDIKAN JANGKA PANJANG (LRGS)

w w

Sejajar dengan Teras Ketiga PSPTN iaitu Memperteguh Penyelidikan dan Inovasi, di bawah RMKe-10 peruntukan untuk dana penyelidikan telah ditingkatkan kepada RM741 juta bagi tahun 2011 dan 2012. Peruntukan ini bertujuan untuk membiayai lima (5) program penyelidikan yang mana salah satu program penyelidikan tersebut adalah Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS).

LRGS adalah penyelidikan yang bersifat fundamental, melibatkan skop yang  lebih ekstensif; dan tempoh masa yang panjang serta memerlukan komitmen yang tinggi. LRGS boleh menghasilkan teori dan idea baru yang terkehadapan dalam nic-nic yang strategik untuk perluasan sempadan  ilmu.

Selain itu, LRGS berupaya mempromosi kecemerlangan dalam penyelidikan yang mengembangkan sempadan ilmu, terutama dalam bidang-bidang cutting edge khususnya nic yang telah dikenalpasti. Melalui LRGS, kerjasama keserakanan (multi-institutional) merentasi pelbagai institusi dan bersifat multi disiplin dapat dibina, seterusnya akan meletakkan Malaysia dalam peta dunia dari segi penyelidikan fundamental dalam nic-nic tertentu.

Program penyelidikan di dalam LRGS memberi fokus kepada bidang-bidang strategik negara di mana terdapat tujuh (7) nic yang berimpak tinggi yang diterajui oleh 5 buah Universiti Penyelidikan (RU). Projek Penyelidikan di bawah Skim LRGS akan melibatkan minimum tiga (3) institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan penggemblengan kepakaran dalam hasil penyelidikan.  Selain itu projek penyelidikan juga adalah bersifat multi disiplin yang melibatkan korpus ilmu sains & teknologi serta sains sosial & kemanusiaan. Tujuh nic yang berimpak tinggi tersebut adalah:-

  • pemanasan global
  • penyakit berjangkit
  • perubatan tropika
  • keselamatan tenaga dan air
  • kecukupan makanan
  • pembuatan termaju dan tambah nilai
  • teknologi informasi dan komunikasi (ICT).

Selain daripada 7 nic yang telah dikenal pasti, IPT selain Universiti Penyelidikan juga boleh mengajukan nic-nic mengikut kepakaran IPT masing-masing. 

Melalui projek-projek penyelidikan yang akan dijalankan, bilangan modal insan dan juga bilangan penemuan penyelidikan akan dapat ditingkatkan, ini seterusnya  akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dalam penyelidikan.