Pengaruh globalisasi, liberasi ekonomi serta perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ke atas segenap aspek kehidupan kita kini sangat ketara. Cara kita bermasyarakat, melaksanakan aktiviti ekonomi dan berurusan telah dan akan terus berubah dengan pesatnya dengan perkembangan-perkembangan ini. Ini adalah selaras dengan lima teras utama yang telah digariskan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 31 Mac 2006 dalam RMK9, yang menekankan untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi di samping dapat meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ’Minda Kelas Pertama’.
Jabatan Pengajian Tinggi sentiasa peka kepada perubahan-perubahan yang berlaku di dalam persekitaran ini. Sebagai Jabatan yang bertanggungjawab untuk membangun dan memperkasa Institusi Pengajian Tinggi bagi melahirkan para intelek yang berdaya saing dan dapat memenuhi aspirasi negara serta menjadikan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia, Jabatan Pengajian Tinggi sentiasa berusaha untuk memberi maklumat dan menyediakan perkhidmatan secara cepat, kemas dan teratur bagi memenuhi keperluan pelanggannya yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, agensi-agensi swasta, anggota Jabatan Pengajian Tinggi, pelajar dan juga orang ramai.
Portal ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa dan akan sentiasa dikemaskini dari segi kandungan maklumat, penampilan serta kemudahan yang disediakan. Pelbagai maklumat mengenai aspek pengurusan yang dikendalikan oleh Jabatan ini diharap dapat menjadi bahan rujukan yang bermanfaat kepada pengguna. Kemudahan untuk berurusan melalui internet seperti mendapatkan maklumat tentang personel Jabatan Pengajian Tinggi, membuat aduan atau rayuan terhadap permohonan untuk mengikuti kursus di IPT diharap akan memudah dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Saya menaruh harapan melalui penggunaan laman ini, Jabatan Pengurusan IPT dapat menyumbang ke arah mewujudkan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk masyarakat ’Minda Kelas Pertama’ bagi melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.Saya mengalu-alukan pandangan yang membina untuk memantapkan lagi pengurusan dan kemudahan yang disediakan ini. Selamat melayari portal Jabatan Pengajian Tinggi.
Y. BHG. DATO’ IR. DR. RADIN UMAR BIN RADIN SOHADI
KETUA PENGARAH |