Slider

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Profesor Dr. Asma binti Ismail

Profesor Dr. Asma binti Ismail

Profesor Dr. Asma binti Ismail dilahirkan di Jitra, Kedah pada tahun 1958. Beliau memperoleh Ijazah dalam bidang Biologi dari Universiti of Nevada, Reno, USA pada tahun 1980, memperoleh M.A. (Mikrobiologi) dari Indiana University, Bloomington, USA pada tahun 1983 dan memperolehi PhD dalam bidang sel dan biologi molekul dari University of Nevada, Reno, USA pada 1986.

Profesor Dr. Asma binti Ismail menceburi bidang akademik sebagai pensyarah di Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1986. Kepimpinan beliau semakin terserlah apabila dilantik sebagai Ketua Jabatan pada tahun 1992, Timbalan Dekan Pentadbiran pada tahun 1994 dan seterusnya Timbalan Dekan Penyelidikan pada tahun 2000. Pada tahun 2001 beliau telan dilantik sebagai Pengarah Pusat lnovasi dan Pembangunan Teknologi Perubatan, USM.

Beliau turut dilantik sebagai Pengarah Pengasas, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), iaitu sebuah institut penyelidikan yang ditubuhkan pada 2003, yang mengamalkan konsep penyelidikan berkluster yang terdiri daripada penyelidik dari pelbagai disiplin.

Prof. Dr. Asma Anugerah Inovasi

Profesor Dr. Asma binti Ismail merupakan saintis yang mempelopori bidang diagnostik segera bagi penyakit berjangkit terutamanya bagi demam kepialu. Beliau merupakan pakar rujuk dan ahli panel bagi geran penyelidikan negara seperti IRPA, IGS, NBD dan FRGS. Beliau juga menjadi Pengerusi bagi geran SAGA dalam bidang Fisiologi atau Perubatan di bawah Akademi Sains Malaysia. Kementerian Pengajian Tinggi telah melantik beliau sebagai ahli jawatankuasa Penubuhan Universiti Penyelidikan dan juga sebagai ahli Jawatankuasa Penilaian Universiti Penyelidikan. Beliau juga adalah penasihat sambilan WHO untuk demam kepialu dan vaksin.

Profesor Dr. Asma binti Ismail melalui penyelidikannya telah menghasilkan lebih 90 penerbitan dan menerima 42 anugerah serta penghargaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk Anugerah Inovasi Negara pada tahun 2006. Beliau telah memfailkan sebanyak 23 paten seluruh dunia, di mana tujuh (7) daripadanya telah pun diperolehi. Beliau turut berjaya mengkomersialkan empat (4) kit diagnostik segera bagi penyakit demam kepialu. Produk beliau, kit "TYPHIDOT", telah berada di pasaran dunia sejak 1994 dan telah membawa pulangan royalti kepada USM. Beliau telah dilantik sebagai Fellow Akademi Sains Malaysia (bidang sains perubatan) pada tahun 2003 di atas sumbangan dan pencapaian saintifik kepada negara.

  • Hits: 380
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)