Slider

Tokoh Akademik Negara

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh dilahirkan pada 26 Mac 1942. Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Trade School Butterworth pada tahun 1960. Seterusnya, meneruskan perkhidmatan perguruannya di beberapa buah sekolah hinggalah menjadi tutor, pensyarah, pensyarah kanan dan seterusnya menjawat jawatan akademik di universiti tempatan dan antarabangsa. Beliau merupakan professor termuda yang dilantik pada tahun 1979 pada usia 37 tahun.

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh sepanjang 42 tahun kariernya telah berkhidmat di tiga (3) buah universiti, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM). Beliau juga telah dijemput mengajar di Amerika Syarikat, Brunei, Jerman dan Belanda serta menerima fellowship dari universiti di Amerika Syarikat. Selain menerima puluhan hadiah / anugerah di peringkat kebangsaan dan Antarabangsa, beliau turut dipilih sebagai Sasterawan Negara sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kreatif dan akademik yang luas dan canggih. Beliau menguasai penulisan (puisi dan kritikan) dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta membawa sastera Malaysia menyeberang ke benua Asia, Eropah dan Amerika. Beliau juga telah memberi inspirasi dan mencetus dua (2) pusat kajian Melayu, iaitu di Universitas Islam Riau dan Universitas Jambi.

Sajak dan karya akademik Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh diterjemahkan ke dalam 12 bahasa termasuk bahasa Belanda, Cina, Denmark, Ibrani, ltali, Jepun, Korea, Rusia, Sepanyol, Thailand dan Vietnam serta yang terkini dalam dua (2) lagi bahasa, iaitu Portugis dan Perancis. Ianya juga menjadi bacaan wajib di semua sekolab menengah (dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) dan juga beberapa kursus universiti di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh memperkayakan wacana tempatan dan nusantara serta memfokuskan kajiannya kepada jiwa, genius serta keunikan pengarang sastera Nusantara dan menyaring konsep-konsep tempatan termasuk falsafah alam dan ruang. Penemuan terpenting beliau adalah sebuah teori sastera Melayu yang kini sering dirujuk serta digunakan di beberapa buah universiti di Nusantara dan antarabangsa dan juga sebagai landasan tesis / disertasi. Beliau juga telah mengkaji teks-teks Melayu tradisional termasuk Hikayat Isma Yatim, Sulalat-as-Salatin dan Hikayat Hang Tuah.

Sebagai penterjemah, Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh menterjemah (melalui bahasa Inggeris) karya penulis penting Amerika, Britain, Chile, Jepun, Jerman, Mexico dan Rusia; dan seterusnya menterjemah karya Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura ke dalam Bahasa Inggeris

Di samping fokus Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh dalam bidang penulisan, pengajaran dan penterjemahan, beliau juga merupakan seorang penyelidik yang meneroka bidang baru jiwa sastera Nusantara, alatan retorika, sihir pantun Dunia Melayu serta sudut falsafah alam. Sebagai aktivis bahasa sastera dan budaya, beliau memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bermartabat, bertamadun dan canggih sebagai alat wacana sejumlah budaya yang halus dan tinggi pencapaiannya.

Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh merupakan cendiakawan dan sasterawan unggul yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan Antarabangsa. Beliau digelar sebagai penyair intelektual kerana memasukkan unsur pemikiran dalam puisi. Beliau turut telah banyak menyumbang kepada kefahaman baru terhadap kesusasteraan Melayu tradisional dan moden. Beliau mempunyai pengetahuan mendalam terhadap kesusasteraan Barat, namun sentiasa melihat kesusasteraan Melayu berasaskan ciri-ciri keunikannya sendiri seperti yang terjelma dalam karya besamya Poetika Sastera Melayu yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, iaitu The Poetics of Malay Literature. Sebagai penyair dan ilmuan, Profesor Mohamad telah menghasilkan 15 koleksi puisi, 5 buah antologi sastera Malaysia dan 12 buku kritikan teori dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hasil terjemahannya termasuklah 11 buku Bahasa Melayu dan Bahasa lnggeris.

  • Hits: 649
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)