Slider

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Profesor Datin Paduka Dr. Aini lderis

Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Profesor Datin Paduka Dr. Aini lderis dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dari UPM (1979), Master Sains Veterinar (MVSc) dalam bidang Perubatan Avian, Universiti Liverpool, England (1981) dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari UPM (1989), dalam bidang yang sama. Beliau seterusnya menjalani latihan Pasca Kedoktoran di Universiti California, Davis, USA (1990-1992) dan di Universiti Cornell, USA (1993). Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah dan kini sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia. Beliau juga adalah Felo Akademi Sains Malaysia (FASc).

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

Kejayaan signifikan Prof. Aini dalam penyelidikan adalah penghasilan klon baru virus penyakit Newcastle (NDV4-UPM) yang bersifat thermostable melalui kaedah pengklonan inovatif. Penyakit Newcastle adalah salah satu penyakit virus yang penting di dunia bagi spesis avian terutama di negara Asia dan Afrika. Penyakit ini boleh menyebabkan 100% kematian. Vaksinasi secara konvensional iaitu melalui suntikan tidak sesuai untuk ayam yang dipelihara secara bebas, yang banyak terdapat di negara membangun. Penyelidikan yang dijalankan lebih 10 tahun ini telah menghasilkan vaksin penyakit Newcastle thermostable yang pertama di dunia yang boleh diberi bukan sahaja melalui kaedah konvensional malah boleh diberi melalui makanan kepada ayam kampung dan juga ayam komersial. Kejayaan ini memberi impak yang tinggi dalam pengawalan penyakit Newcastle terutama di negara membangun melalui peningkatan ayam yang diternak dan secara tidak langsung membantu golongan masyarakat terkebawah (the bottom billion). Vaksin ini juga telah melahirkan syarikat vaksin haiwan pertama dan satu-satunya di Malaysia iaitu Malaysian Vaccines and Pharmaceutical Sdn. Bhd. Pada tahun 1996, Profesor Datin Paduka Dr. Aini lderis bersama penyelidik bersama, Prof. Emeritus Dato' Dr. A. Latif Ibrahim, sekali lagi berjaya menghasilkan vaksin kultur tisu Fowl pox. Kedua-dua vaksin ini adalah antara hasil penyelidikan yang pertama dikomersialkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan telah menembusi pasaran antarabangsa.

Antara anugerah penyelidikan yang diterima oleh Profesor Datin Paduka Dr. Aini lderis adalah Anugerah Fellowship Naib Canselor - kategori Penyelidik Cemerlang (2007), Anugerah Penyelidik Biosains Cemerlang (2007) dan Anugerah Pengkomersialan (2008). Kumpulan penyelidikan beliau turut menggondol Anugerah Inovasi Penyelidikan Sektor Awam dan Swasta (2008) di mana beliau merupakan penyelidik bersama. Pada masa kini, Prof. Aini menjalankan penyelidikan berkaitan pembangunan vaksin penyakit Newcastle generasi ke-dua dan beberapa vaksin serta kit diagnosis yang lain.

  • Hits: 548
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)