Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal

Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria

Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria

Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria dikenali kerana kajian beliau dalam bidang Forensik Alam Sekitar untuk mengenal pasti punca pencemaran alam sekitar. Aktiviti penyelidikan beliau telah memenangi pelbagai anugerah berprestij di peringkat Universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Makalah Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria yang bertajuk Multi-residue Analytical Method for Human Pharmaceutical and Synthetic Hormones in River Water and Sewage Effluents by Soil-Phase Extraction and Liquid Chromatography-Tandem Mass Spectrometry telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi (faktor impak = 4.101), iaitu Journal of Chromatography A, 1217 (2010) 6791-6806. Penyelidikan ini telah berjaya membangunkan satu (1) kaedah dan aplikasi untuk menganalisis 20 sisa farmaseutikal dan tiga (3) hormon sintetik yang paling kerap digunakan di Malaysia secara serentak dalam sampel air termasuk air sungai dan air kumbahan loji rawatan kumbahan (STP). Hasil ujian mengesahkan kebolehgunaannya dalam pemantauan sisa alam sekitar.

Sebelum ini, tiada satu (1) kaedah yang mampu mengukur lebih daripada enam (6) sisa farmaseutikal secara serentak. Kaedah yang telah dibangunkan adalah terkini, cepat dan dapat mengesan sisa farmaseutikal yang spesifik serta boleh diselesaikan dalam masa hanya 30 minit. Kaedah yang dicipta oleh Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria amat sensitif terhadap pelbagai sisa farmaseutikal dan hormon yang digunakan di Malaysia.

Farmaseutikal dan hormon sintetik dalam air boleh menyebabkan kesan mudarat ke atas biologi dan ekologi yang terkumpul dalam organisma seperti mamalia, ikan, amfibia dan reptilia serta boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan dalam manusia. Kaedah ini merubah paradigma bagaimana piawaian kualiti air dan peraturan-peraturan dibangunkan di alam sekitar. Ia membolehkan para saintis melihat secara lebih mendalam mengenai sumber, nasib dan kesan ubat-ubatan serta hormon sintetik dalam persekitaran akuatik.

Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria telah menghasilkan lebih daripada 60 buah penerbitan termasuk sebuah buku dan empat (4) bab dalam buku termasuk satu (1) bab yang diterbitkan oleh Elsevier. H Index yang dikeluarkan oleh SCOPUS untuk semua penerbitan beliau ialah 11 dengan jumlah sitasi 464.

Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria merupakan ahli American Chemical Society, International Society of Environmental Forensics dan AJK Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS), Jawatankuasa Pemandu AMETEC (APEC Marine and Environmental Training Center), Korean Ocean Research and Development Institute. Beliau juga sering dilantik sebagai pemeriksa tesis Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti-universiti tempatan. Pada masa ini, Prof. Madya Pauzi merupakan Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga adalah ahli Editorial Board Journal Environment Asia.