Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen)

Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan

Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan

Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan atau lebih mesra dengan panggilan Dr. JJ dilahirkan pada 21 Jun 1961 di Kampung Musai, Melaka. Pendidikan awal yang diterima di St. David's High School, Sekolah Menengah Sains Air Keroh (MOZAC) dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban telah membantu beliau untuk meneruskan pengajian di Jabatan Fizik, Kansas State University, Manhattan Kansas (KSU), United States of America pada tahun 1980. Setelah menamatkan pengajian peringkat Sarjana pada Disember 1985, beliau menghabiskan tahun 1986 di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI) dan memperolehi Sijil Perguruan Lepasan ljazah.

Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan cenderung untuk menerap dan mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran berkesan bermula sejak merasakan tidak selesa dan tidak yakin dengan kefahaman beliau ketika memulakan karier sebagai tenaga pengajar di UiTM (ITM) pada Januari 1987. Kekurangan ini adalah disebabkan kaedah pembelajaran sewaktu beliau di universiti lebih tertumpu kepada penghafalan. Penghayatan yang rendah dan amalan memasukkan nilai dalam formula tidak banyak menyokong keinginan dan keupayaan beliau untuk memahami konsep serta prinsip-prinsip fizik dan matematik dengan lebih mendalam walaupun memperolehi gred yang cemerlang. Namun, ini tidak mengekang sifat ingin tahu dan kritikal beliau dalam usaha menjadi insan yang berguna kepada pelajar dan masyarakat.

Prof. Madya Dr. Jaafar bin Jantan

Peluang menyambung pelajaran dalam bidang fizik pada peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) oleh UiTM pada tahun 1991 telah digunakan untuk meneroka dan memahami kaedah-kaedah serta teori-teori pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Bimbingan Prof. Dean Zollman serta perbincangan bersemuka dengan ramai ahli-ahli fizik tersohor termasuklah Prof. Carl Weiman dan Prof. Leon Lederman yang merupakan pemenang-pemenang Nobel telah banyak membantu proses peralihan beliau dalam mengamalkan kaedah pengajaran yang aktif dan berpusatkan kepada pelajar.

Sejak tahun 1996 sehinggalah ke hari ini, Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan sentiasa berusaha menghasilkan bahan-bahan pengajaran berpusatkan pelajar seperti PeFaLeC (Peer Facilitating Learning Cycle) dan APPIE (Assisted Peer-Provocation Interactive Engagement) serta menggabungkan teknologi ICT dalam amalan pendekatan JEBAT (Journey towards Enhancement and Balance by utilizing Arts and Sciences in Teaching & Learning). Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran ini berserta dengan bahan-bahan bengkel yang dihasilkan untuk memberikan latihan profesional kepada tenaga-tenaga pengajar baik di UiTM mahupun IPT lain boleh didapati di laman web beliau dengan menaip kata kunci 'drjj' dalam carian Google.