Slider

Tokoh Akademik Negara

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman merupakan pakar Veterinar Malaysia pertama mendapat Ph.D dari University of Cambridge, UK, profesor pertama dilantik di UPM serta dekan pertama bagi Fakulti Perubatan Veterinar dan Sains Haiwan UPM. Kecemerlangannya merancang pembangunan program pengajaran dan penyelidikan serta membina jaringan dengan kolej veterinar yang terkemuka di luar negara berjaya mempertingkatkan reputasi UPM di mata dunia. Kepimpinan beliau diiktiraf dengan pelantikannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik) UPM pada tahun 1982.

Kewibawaan Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman mendapat perhatian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah melantiknya menjadi Penasihat Sains pertama kepada Perdana Menteri (1984-2001). Era tersebut menyaksikan komitmen luar biasa kerajaan terhadap pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dengan lahirnya Polisi Sains dan Teknologi yang pertama di Malaysia serta rangkuman bab Sains dan Teknologi dalam Rancangan Malaysia Ke-lima (1986-1990).

Kerangka Amalan Terbaik Pengurusan Teknologi Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman terus menjadi rujukan negara serta menjadi salah satu strategi terpenting Wawasan 2020. Beliau juga adalah pengasas Malaysian Technology Development Corporation Bhd. (MTDC), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Technology Park Malaysia dan Akademi Sains Malaysia (ASM), serta memperkenalkan Skim Pembangunan Sains dan Teknologi menerusi dana penyelidikan saintifik, termasuk program Intensification of Research in Priority Areas (IRPA).

Selain itu, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman merupakan Presiden Association of Veterinary Surgeons, Malaysia-Singapore (1972-73 & 1985-87), Malaysian Scientific Association (1984-88), Federation of Asian Scientific Academies and Societies (2003-2009), Science Council of Asia (2002) dan mantan Timbalan Presiden Third World Network of Scientific Organisations (TWNSO)-Asia, Presiden Malaysia University of Science and Technology (M.U.S.T) pada 2007 hingga 2009, serta ahli lembaga pengurusan Science Council of Asia (2001-2005). Kini beliau adalah Penyelaras Unit Penasihat Polisi STI (SPCU) di International Science, Technology and Innovation Centre for South-South Corporation (ISTIC).

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman telah menerima lapan (8) ijazah doktor kehormat daripada Melbourne and Queensland (Australia), Sterling and Bristol (United Kingdom), Guelph (Canada), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk Profesor Emeritus UPM serta pernah memenangi ASEAN Achievement Award in Science (1993), Fok Ying Tung Southeast Asia Prize (1998) dan Tun Abdul Razak Award (International) (2000). Beliau juga merupakan penasihat dan ahli lembaga pelbagai organisasi termasuk MSA, MINDS, Malaysia Innovation Foundation, Malaysian Toray Science Foundation, Swedish-Malaysia Education Fund, dan Mahathir Science Award Foundation serta Pengerusi BostonWeb Academy Sdn. Bhd.

  • Hits: 562
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)