Slider

Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal

Prof. Gurdial Singh Nijar

Profesor Gurdial Singh Nijar

Prof. Gurdial Singh Nijar dilahirkan pada 20 Ogos 1946. Memulakan kerjaya pensyarah di Fakulti Undang-Undang UM sejak April 2000. Beliau juga adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Undang-Undang Biodiversiti (CEBLAW), di mana ianya ditubuhkan di bawah satu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan UM pada November 2006. Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari King's College, London dan Sarjana Undang-Undang dari UM. Berkelayakan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Victoria dan Mahkamah Tinggi New South Wales.

Ulasan kepada makalah jurnal:

"Food security and access and benefit sharing laws relating to genetic resources: Promoting synergies in national and international governance."

Makalah ini adalah berdasarkan kepada penilaian yang dibuat ke atas undang-undang nasional ABS (akses kepada sumber-sumber genetik dan perkongsian faedah) dan impaknya terhadap pertanian dan sekuriti makanan.

Penilaian ini penting kerana ciri khas sumber-sumber genetik makanan dan pertanian memerlukan akses tanpa halangan terhadapnya. Kebanyakan sumber tersebut telah dibangunkan oleh petani-petani berabad lamanya atas dasar penggunaan dan pertukaran tanpa halangan. Petani-petani telah menukar tanaman tanpa halangan dalam milenia-milenia yang lepas. Hasil daripada pertukaran ini, sumber-sumber genetik telah menjadi sumber asas makanan (breadbasket) dunia sehingga kini.

Undang-undang Nasional ABS mencuba untuk mengawal selia akses kepada sumber-sumber genetik supaya akses haram dan penafian faedah dapat dielakkan. Undang-undang sebegini mungkin mengancam akses tanpa halangan tersebut. Makalah ini cuba untuk menentukan suatu keseimbangan di antara kedua-dua kepentingan yang bersaing ini. Makalah ini juga mengenal pasti elemen undang-undang ABS yang mungkin mempunyai kesan negatif dan memberi saranan dalam bentuk sistem multi-lateral yang telah membantu dalam memudahkan akses kepada sumber genetik makanan dan pertanian bagi beberapa negara berdasarkan Standard Material Transfer Agreement. Makalah ini turut mengetengahkan perkaitan antara sains dan teknologi serta masyarakat dari sudut perspektif tempatan dan antarabangsa.

Governans khusus (terutama dari segi undang-undang) tentang sumber-sumber genetik untuk makanan dan pertanian sangat diperlukan di Malaysia dan negara membangun yang lain. Makalah ini memprovokasi diskusi intelektual untuk penyelidik bagi memetakan perkara yang perlu dilakukan. Kertas kerja ini didokumentasikan dengan baik, informatif dan ditulis dengan baik berdasarkan pemahaman penulis tentang IPRs (intellectual property rights) dan TRIPs (WTO agreement on trade related intellectual property rights). Masalah yang dihadapi dan penyelesaian terhadap masalah turut dibincangkan. Dapatan makalah jumal mempunyai kepentingan untuk konteks tempatan kerana Malaysia pada masa ini sedang menyediakan Undang-undang Nasional ABS. Selain itu, penulis juga memberikan asas untuk penelitian dan perbandingan antara IPR dan Undang-undang ABS yang dilaksanakan di negara lain.

  • Hits: 412
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)