Slider

Tokoh Akademik Negara

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar

Profesor Emeritus Dato Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar dilahirkan pada 5 Mac 1940 di Jitra, Kedah. Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Lumpur dan Kedah sebelum melanjutkan pengajian ke Universitas Indonesia sehingga ke peringkat Sarjana dalam bidang bahasa dan sastera Indonesia. Seterusnya, melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang linguistik am di Universiti London.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar adalah wanita Melayu pertama yang mendapat Ijazah Ph.D. Beliau banyak menjalankan kajian mengenai bahasa peribumi di Sabah dan Sarawak, dan juga bahasa-bahasa Orang Asli. Berkhidmat di Universiti Malaya (UM) sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu sejak tahun 1960-an sehingga kini, dan empat (4) tahun di UPSI.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar sepanjang kerjayanya telah menjawat pelbagai jawatan penting. Antaranya adalah Penolong Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu UM (1963), Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu UM (1966), Pengarah Pusat Bahasa UM, Profesor Madya, UM (1972), Timbalan Naib Canselor (perjawatan), UM (1983), Profesor Linguistik Melayu, UM (1976 -2000), Profesor Kursi Za'ba dan Pengarah Pengasas Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim (2001 - 2005), Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, UM, Pensyarah Jemputan Pusat Pembinaan Bahasa dan Perkembangan Bahasa, Jakarta, Indonesia (1977), Pensyarah Jemputan Institute of Linguistics, University of Hawaii (Julai 1977), Profesor Pelawat University of Qatar (Mac 1979 - April 1979), Profesor Pelawat Center for Southeast Asian Languages and Cultures Mahidol University, Bangkok (Mei 1978 dan Mei 1979), Profesor Pelawat Fulbright untuk rancangan SEASSI, Northern Illinois University, USA (2 Jun 1987 - 23 Ogos 1987), Presiden Pengasas Persatuan Linguistik Malaysia (1977 - 1979), Presiden Pengasas Persatuan Bahasa Moden Malaysia (1986 - 1994; 2002 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Bahasa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (1980-1986), Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Malaysia (1972 - kini) dan Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar telah menghasilkan lebih daripada empat puluh lima (45) buah buku akademik berkenaan linguistik. Beliau juga menghasilkan ensiklopedia bahasa serta menterjemahkan kamus Bahasa Inggeris Oxford Advanced Learners Dictionary dan Choose Life (kumpulan wacana Arnold Toynbee dan Daisaku Ikeda) dan beberapa karya Daisaku Ikeda, serta cerita-cerita rakyat Jerman ke dalam Bahasa Melayu. Beliau juga merupakan penyumbang rencana akademik dalam penerbitan tempatan dan antarabangsa, menjadi Editor Undangan International Journal of the Sociology of Language, dan juga menjadi Ahli Sidang Editorial beberapa jurnal linguistik antarabangsa.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar juga menjalankan penyelidikan, antaranya termasuklah University of Malaya English for Special Purpose Project (yang menghasilkan siri buku pengajaran bahasa Inggeris, diterbitkan oleh Thomas Nelson Inc. ), CICHE ELT 308 Academic Writing and Teaching Package Project, University of Malaya Spoken English Project (UMSEP) dari tahun 1980 sehingga 1983, dan Projek Culturally Conditioned Models of Conflict and Conflict Resolution, Malaysia-Sweden (University of Goteborg) dari tahun 1989 hingga tahun 1994.

Dengan sumbangan dan jasa baktinya, Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar telah dianugerahkan Ahli Mangku Negara (A.M.N.) pada tahun 1973, Setia DiRaja Kedah (S.D.K.) pada tahun 1979, Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K.) pada tahun 1983, Anugerah ASANAL pada tahun 1979, 'Orde Des Palmas Academique Perancis' 1989, GRATA HOME NAGEM Institute Portugese Do Oriente, Macau 1990, 'Boss of The Year' dari Persatuan Setiausaha Malaysia sesi 1992 / 1993, Piagam Penghargaan MABBIM Indonesia 1993, Sijil Penghargaan Menteri Pendidikan Malaysia kerana memperkembangkan MABIM dan MABBIM pada tahun 1995, Anugerah Bahasa Raja Nazrin Shah Yang Pertama daripada Persatuan Bahasa Moden Malaysia pada 1996, Anugerah Women of The Year 1998 dari American Biographical Institute, Anugerah 20th CAA Silver Medal of Honor daripada International Biographical Center pada tahun 1999, Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa 2001 dari DBP, Anugerah Tokoh MABBIM 2003, dan Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan 2010 dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada 31 Ogos 2012 yang lalu sewaktu Himpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati di Stadium Bukit Jalil, beliau telah diberi Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Zaman oleh kerajaan Malaysia bagi menghargai sumbangan beliau kepada negara.

Hasil kajian terbaru beliau adalah mengenai bahasa yang digunakan dalam koleksi surat menyurat Almarhum DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah dari tahun 1882-1905 Masihi yang menggambarkan siasah pengurusan Sultan Abdul Hamid ketika Kedah masih di bawah jajahan kerajaan Siam. Kandungan surat-surat tersebut diolah dari sudut masyarakat dan penggunaan bahasa dalam pengurusan negeri Kedah dan juga dalam hubungan Kedah dengan Siam dan negeri-negeri Melayu yang lain.

  • Hits: 893
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)