Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Prof. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail

Profesor Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail

Prof. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau melanjutkan pengajian di University of Strathclyde, UK di bawah tajaan Association of Commonwealth Universities Scholarship dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Chemical and Process Engineering. Beliau juga dikenali melalui sumbangannya sebagai ahli akademik dan saintis teknologi membran serta merupakan Ketua Advanced Membrane Technology Research Center (AMTEC), UTM.

Hasil kajian Prof. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail telah dikormesialkan sejak tahun 2007 dengan jumlah pendapatan dijana sebanyak hampir RM2 juta. Dua (2) paten antarabangsa iaitu US Paten 6,521,025 B1 dan WO00/27512 serta empat belas (14) paten tempatan telah difailkan. Prof. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail telah menerbitkan lebih 240 kertas saintifik dalam jurnal berimpak tinggi dan nilai h-index semasa beliau adalah 28 dengan jumlah sitasi 2775. Jumlah dana penyelidikan yang diperoleh sehingga kini adalah sebanyak RM42 juta. Beliau juga mengetuai projek Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bertajuk Sustainable Membrane-Based Manufacturing dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6 juta dan EU Grant sejumlah RM1.3 juta.

Penyelidikan beliau juga telah mendapat pembiayaan industri dengan tiga (3) dana penyelidikan yang telah dibiayai oleh Petronas dengan jumlah pembiayaan RM8 juta dan Sime Darby sebanyak RM 337,600 dari tahun 2010 hingga 2012. Kelestarian produk ini telah dimantapkan apabila Petronas memberi pengiktirafan dengan penubuhan Petronas-UTM Membrane Technology Centre.

Ulasan Produk:

Membrane Technology for Separation Processes

Pembangunan produk ini dijangka memberikan impak yang besar kepada industri petroleum dan gas, perubatan, elektronik, dan makanan di Malaysia. Inovasi ini menampilkan keaslian produk dari segi penggunaan hos polimer baru untuk pembuatan membran dan kaedah khusus atau formulasi yang baru untuk menghasilkan membran dan sistem membran yang berprestasi tinggi. Proses platform ini boleh digunakan untuk menghasilkan membran bagi kegunaan dalam pelbagai industri seperti industri bioteknologi, petrokimia dan dalam bidang farmaseutikal serta industri yang berkaitan dengan alam sekitar. Produk ini juga boleh digunakan untuk kegunaan domestik seperti dalam proses penulenan air minuman serta penghasilan air minuman daripada air laut dan proses rawatan air dan sisa dalam industri tempatan. Fabrikasi serta reka bentuk sistem dan modul membran adalah sangat mudah dan menjimatkan kos, di mana ia merupakan salah satu produk yang menggunakan kaedah teknologi hijau yang cekap serta dapat menjimatkan kos sehingga 40% jika dibandingkan dengan penggunaan sistem konvensional.

Terdapat dua kategori utama pengunaannya adalah dalam bidang pemisahan akues dan gas, contohnya membran osmosis berbalik untuk air minuman dan juga dalam penyingkiran karbon dioksida daripada aliran gas asli. Pembuatan membran simetri merupakan proses yang sukar dan sensitif kerana mengambil kira aspek pemilihan bahan, teknik fabrikasi dan juga proses pembentukan membran adalah penting dalam penghasilan sesuatu membran yang berkualiti. Reka bentuk spinneret yang novel mampu menghasilkan pelbagai jenis membran yang berkos rendah, membolehkan kepilihan (selectivity) yang tinggi dan cekap tenaga. Tahap selectivity produk ini mencapai tahap 80 yang mewakili 300% penambahbaikan dalam konteks ketulenan produk berbanding dengan membran komersial yang sedia ada telah dapat dicapai.

Kemajuan teknologi yang dicapai dalam pembangunan Sistem Air Minuman Reverse Osmosis (RO) telah diterima sebagai salah satu teknologi yang paling terkini dan canggih untuk pengeluaran air minuman yang berkualiti tinggi. Sistem RO ini dibangunkan secara khusus supaya dapat memenuhi keperluan penduduk Malaysia serta seluruh dunia dengan cara menyingkirkan bendasing supaya air tersebut diyakini bersih dan selamat untuk diminum. Sistem RO ini terdiri daripada lapan (8) peringkat penapisan yang boleh menapis serta menyingkirkan pepejal terampai, bakteria, dan virus. Sistem yang dibangunkan ini mempunyai daya unik penolakan yang tinggi terhadap kehadiran bendasing di dalam air yang hendak dirawat dan seterusnya menghasilkan air yang selamat diminum oleh rakyat Malaysia.