Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Penulisan Kreatif)

Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood

Profesor Dr. Muliyadi bin Mahamood

Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood merupakan pemegang Diploma in Art and Design (Fine Art) dari Institut Teknologi Mara (ITM) pada tahun 1984. Pada tahun 1986, beliau telah memperoleh Ijazah History of Art dari University of Illinois, USA dan melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di Ohio University, USA. Beliau memperoleh Diploma Penterjemahan daripada Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991 sebelum memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang pengajian kartun (cartoon studies) dari University of Kent, England pada tahun 1997.

Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood telah berupaya menyuburkan kecenderungan terhadap pengajian bidang ini dengan melahirkan graduan Sarjana dan Kedoktoran yang memberi tumpuan terhadap bidang pengajian kartun. Kursus atau subjek khusus mengenai pengajian kartun dan karikatur juga telah berjaya diperkenalkan di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM. Hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam bentuk buku, esei jurnal, dan makalah majalah bagi rujukan umum serta mendapat pengiktirafan Perpustakaan Negara Malaysia yang telah membeli sejumlah 860 naskah buku Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia dan Tempatan untuk edaran ke seluruh perpustakaan awam di Malaysia.

Penulisan Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood mengenai perkembangan seni moden, seni kartun dan animasi tempatan juga telah diterbitkan di peringkat antarabangsa seperti buku Animation in Asia and the Pacific dan The Encyclopedia of Malaysia: Crafts and the Visual Arts yang telah berupaya memperkenalkan seni tempatan ke peringkat global. Sumbangan Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood terhadap bidang seni lukis moden turut diterjemahkan dalam penerbitan buku-buku beliau seperti Modern Malaysian Art: from the Pioneering Era to Pluralist Era yang telah menjadi rujukan utama di peringkat STPM dan Institusi Pengajian Tinggi. Beliau juga berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang menjadi rujukan penting, antaranya The History of Malay Editorial Cartoons dan Kartun Editorial Melayu sejak 1990.

Di samping menghasilkan penyelidikan dan penulisan, Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood turut bergiat aktif dalam membangunkan dunia kartun tanah air sehingga dilantik menjadi Presiden dan Pengasas Persatuan Kartunis Malaysia (PEKARTUN) yang ditubuhkan pada tahun 1990 dan telah menerima beberapa anugerah antaranya Tokoh Kartunis Intelek tahun 1999, Pingat Gangsa dalam 18th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2007, Kuala Lumpur, diiktiraf sebagai salah seorang Tokoh Penulis Kebudayaan dan Kesenian (2008), Pingat Emas dalam Invention, Innovation & Design (IID 2010 - Special Edition), UiTM dan pencapaian tertinggi beliau dalam memartabatkan seni karikatur dan kartun tempatan adalah dengan penganugerahan Anugerah Penggiat Kartun Malaysia : Anugerah Cendekiawan Kartun Malaysia 2012 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2012.

Kepakaran Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood mendapat pengiktirafan antarabangsa, misalnya melalui pelantikan beliau sebagai Ahli Sidang Editorial International Journal of Comic Art (IJJOCA) dan beliau terus diiktiraf menerusi undangan sebagai kurator tamu, panel penasihat dan panel pakar oleh institusi awam dan swasta. Beliau juga telah diundang sebagai panel penasihat pembentukan Kota Budaya Johor Bahru, Galeri Seni Bank Negara, Penilai Koleksi Tetap Balai Seni Visual Negara, Panel Perolehan, Koleksi Balai Seni Visual Negara, Panel Pakar Pendaftaran Warisan Seni Halus (Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) dan Panel Pakar Istilah Kesenian Majlis Bahasa Melayu Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM). Pengiktirafan-pengiktirafan seumpama ini telah menyumbang terhadap perkembangan seni budaya dari sudut pembentukan dasar, pengiktirafan karya seni dan seniman serta penentuan arah dalam perolehan khazanah seni negara dan hala tuju kesenian tanah air secara umumnya.

  • Hits: 387
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)