Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Persembahan)

Dr. Joanne Yeoh Pei Sze

Dr. Joanne Yeoh Pei Sze

Dr. Joanne Yeoh Pei Sze memperoleh Ijazah dalam bidang muzik dalam pengkhususan muzik biola dan piano dari University of Middlesex, United Kingdom pada tahun 1998 dan melanjutkan pengajiannya di University of Leeds dengan tajaan Luther and Ernest Gaunt Scholarship for Strings pada tahun 2005. Semasa pengajiannya beliau menerima Foreign and Commonwealth Office Scholarship untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang persembahan muzik. Pada tahun 2009, beliau berjaya memperoleh PhD dari Heriot Watt University, United Kingdom dengan pengkhususan dalam bidang muzik dan perlakuan manusia (consumer behavior).

Kini, beliau merupakan Ketua Jabatan Muzik di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau terkenal dalam dan luar negara sebagai seorang pemain biola secara solo yang mempunyai unsur inovasi dan tradisional dalam muzik yang dimainkan. Kemampuan beliau dalam menterjemahkan persembahan daripada muzik klasik ke bentuk instrumental kontemporari untuk penghayatan khalayak serta mewujudkan satu tahap atau dimensi baru dalam apresiasi muzik tidak dapat dinafikan. Beliau juga merupakan ahli akademik perintis dalam bidang muzik instrumental kontemporari dan pensyarah yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dalam bidang yang diceburinya.

Persembahan Dr. Joanne Yeoh Pei Sze dilihat dapat memukau penonton dengan gesekan biola Mathias Thir 1775 mengikut alunan muzik yang dimainkan. Kemahiran dalam menggesek biola Mathias Thir 1775 telah berjaya meletakkan beliau sebagai salah seorang pemuzik bertaraf dunia. Beliau pernah menyertai Aberswyth Music Festival di Wales, Edinburgh Summer Festival dan Aberdeen Music Festival di Scotland.

Dr. Joanne Yeoh Pei Sze telah menerima beberapa anugerah sebagai pengiktirafan di atas sumbangan beliau dalam mengembangkan seni muzik instrumental kontemporari yang mengandungi elemen muzik klasik sehingga terkenal di peringkat antarabangsa. Beliau telah dianugerahkan Vice Chancellor Award 2011 - Category of Arts and Creativity, Martell's Arising Personality Award 2008 dan The Outstanding Young Malaysian Award 2004 - Category Personal Improvement and Accomplishment. Pencapaian beliau telah dicatatkan dalam Who's Who in the World 2012 Edition dan nama beliau telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records 2012 kerana menjadi First Malaysian Music Examiner to be Appointed Into Trinity College London Examination Board. Pengetahuan yang luas serta kemahiran yang ada dalam bidang muzik melayakkan beliau dilantik sebagai ahli panel penilai bagi Trinity College London bagi membuat penilaian di negara India, Bangladesh, Hong Kong, Singapura, New Zealand, Australia, Japan, Africa Selatan, Taiwan dan Indonesia sejak tahun 2005 sehingga kini. Dr. Joanne Yeoh Pei Sze juga telah menghasilkan penyelidikan kreatif dalam bentuk CD yang mengandungi kompilasi alunan muzik instrumental ciptaannya.

Selain aktif dalam bidang muzik, Dr. Joanne Yeoh Pei Sze juga menterjemahkan karya kreatif ini dalam bentuk penerbitan jurnal contohnya Sage. Penghasilan jurnal ini mengambil kira elemen-elemen penting dari sudut perspektif psikologi dalam penyelidikan muzik. Sebagai seorang ahli akademik, beliau turut berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pengajian muzik menerusi konsep dan teori untuk memudahkan kefahaman pelajar terhadap subjek yang diajar. Berpegang kepada petikan falsafah Friedrich Neitzsche, seorang penyair Jerman iaitu "without music life would be a mistake", beliau berpendapat bahawa seni muzik itu tidak boleh dipandang rendah dan boleh mempengaruhi budaya serta kehidupan seharian.

  • Hits: 327
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)