Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Visual)

Encik Junaidi bin Awang

Encik Junaidi bin Awang

Encik Junaidi bin Awang adalah pensyarah di Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Kampus Machang, Kelantan dan mengajar pengkhususan batik dan penghasilan reka corak tekstil. Kepakaran beliau dalam kedua-dua bidang ini telah diterjemahkan dengan penghasilan beberapa hasil karya kreatif serta penglibatan beliau dalam pertandingan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa. Karya batik yang berkonsepkan moden kontemporari dengan mengeksperimentasi pelbagai bahan warna dan kesan jalinan bagi memperlihatkan kesan visual yang kreatif dan eksklusif yang dihasilkan oleh Encik Junaidi bin Awang mengikut kesesuaian dan citarasa global masa kini.

Encik Junaidi bin Awang telah banyak melibatkan diri dalam penyelidikan reka corak baru batik yang dianjurkan oleh organisasi utama yang memperjuangkan batik Malaysia iaitu Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG). Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Bumiputra Design Association (BDA), projek Batik Is My Soul (BIMS) kolaborasi bersama pereka fesyen terkemuka, Jovian Mandagie dan Batik International Research & Design Excellence (BIRDA).

Encik Junaidi bin Awang juga menyediakan khidmat perundingan rekaan batik dan bentuk pakaian untuk beberapa syarikat terkemuka di Malaysia antaranya ialah iKartini Design, AZ Batik, Jantique Batik, Dato' Mazlan Meah, Bumiputra Design Association (BDA), Galeri Seri Indon dan menjadi penasihat dalam pakaian adat istiadat Majlis Orang-orang Besar Diraja Kelantan (MOBDR). Beliau turut dilantik sebagai pakar rujuk serta penilai dalam bidang pengajaran, pembelajaran dan penilaian di IPTA untuk subjek atau kursus yang berasaskan seni reka tekstil, reka corak dan batik. Beliau telah dilantik menjadi pereka tetap kepada Galeri Seri Endon, Bukit Damansara di mana produk batik beliau di bawah jenama Junaidi Awang ditempatkan dan dipasarkan sebaris dengan koleksi batik-batik terbaik dari seluruh negara.

Hasil karya kreatif beliau telah dipamerkan di beberapa pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya ialah Pameran 2nd ASEAN Traditional Textile Symposium Manila 2009, bertemakan Habi : Sustaining Traditional Textiles of the ASEAN, anjuran National Museum of the Philippines dan Museum Foundation of the PhilippinesThe 3rd ASEAN Traditional Textile Symposium 2011 di Kuala Terengganu, Pameran Designer Galeri Seri Endon di KL International Batik (KLIB) Convention, KLCC, Kuala Lumpur, Pertunjukan Fesyen Kolaborasi Projek Batik Is My Soul (BIMS) bersama Jovian Mandagie di Malaysian International Fashion Award (MIFA) 2011, Kuala Lumpur dan Pertunjukan Fesyen Miss Tourism International 2011 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur. Produk beliau telah diberi peluang untuk menembusi pasaran luar negara dengan dipasarkan di pasar raya Harrods UK oleh PENYAYANG dalam usaha mengetengahkan rekaan serta seni corak batik Malaysia ke luar negara. Artikel tentang kejayaan Encik Junaidi bin Awang banyak diterbitkan di dalam majalah tahunan Batik Guild Malaysia keluaran PENYAYANG selain mendapat tempat dalam akhbar luar negara seperti The Island, Sri Lanka, Etihad Inflight Magazine, UK, Batik Guild UK, UK dan juga Capital Magazine, Canberra.

Encik Junaidi bin Awang telah mencipta nama dengan mewakili negara dalam pameran dan pertunjukan batik serta merangkul beberapa anugerah utama dalam dan luar negara termasuklah memenangi Pingat Emas dalam International Invention: Innovation Expo IITEX 2013, Juara Piala Seri Endon 2012, Anugerah Akademik UiTM 2012, Pingat Emas dalam Innovation & Design Expo 2012 di UiTM Terengganu dan Kelantan, Juara Piala Seri Endon 2010, dan Juara Piala Seri Iman 2010 anjuran Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE). Anugerah AAN 2012 adalah merupakan anugerah kali kedua yang diterima oleh beliau selepas memenanginya dalam kategori yang sama pada tahun 2010.

  • Hits: 463
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)