Slider

Tokoh Akademik Negara

Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim

Profesor Emeritus Dato Dr. Abdul Latif bin Ibrahim

Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim merupakan pemegang Ijazah dalam bidang perubatan veterinar dari Bangladesh Agricultural University, Bangladesh dan Ijazah Sarjana dalam bidang mikrobiologi dari University of Hawaii, Hawaii. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang mikrobiologi dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of California, USA pada tahun 1976 dan memulakan kerjaya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1973 hingga 2002 sebelum berkhidmat di UNISEL pada tahun 2003.

Semasa di UPM, beliau telah menjalankan penyelidikan untuk membangunkan Vaksin Sampar Ayam dan memajukan pendidikan ubatan veterinar dan sains ternakan di Malaysia. Semasa beliau berkhidmat di MOSTI, Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim bertanggungjawab dalam membangunkan tiga (3) buah institut bioteknologi dan mewujudkan program kerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam pembangunan sumber manusia dan penyelidikan bersama.

Kerja-kerja penyelidikan dan kajian Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim berkenaan vaksin sampar ayam telah membawa kepada pembangunan dan pengkomersialan vaksin ini dan telah digunakan di beberapa buah negara. Kerjaya beliau selama sepuluh (10) tahun sebagai Dekan di Fakulti Kedoktoran Veterinar, UPM telah membawa pengiktirafan di peringkat antarabangsa berkenaan pengajian sains veterinar di Malaysia. Bagi pengiktirafan sumbangan beliau dalam pengajaran veterinar, UPM telah menganugerahkan status Professor Emeritus semasa persaraan beliau.

Sebagai Pengarah Urusan Pertama Direktorat Bioteknologi Kebangsaan, MOSTI, beliau telah meneraju pembangunan bioteknologi melalui inisiatif seperti Biotechnology Cooperative Centre, the Malaysia MIT Biotechnology Partnership Programme dan Biotechnology Cluster Programme di mana tiga (3) Institut Bioteknologi Kebangsaan telah ditubuhkan. Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim juga adalah pengasas bioteknologi Malaysia di mana salah satu projek beliau yang berjaya adalah dalam membangun serta implementasi projek Malaysia-MIT Biotechnology Partnership Programme (MMBPP).

Penyelidikan beliau di dalam mengimplementasikan kaedah bioteknologi untuk kimia hijau telah menarik minat pelbagai institusi dari dalam dan luar negara antaranya UPM, UKM, Imperial dan Cambridge. Beliau telah berjaya memisahkan sejenis spesies bakteria yang tahan suhu dan boleh digunakan untuk biopenyembuhan sisa dari industri. Kerja-kerja giat dijalankan bagi meluaskan produksi bakteria tersebut sebagai pengeluar enzim yang efisien.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim masih lagi meneruskan projek pembangunan vaksin sampar ayam dan sedang bekerjasama dengan UPM dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia untuk membangunkan generasi baru vaksin ini dengan menggunakan kaedah bio-nanoteknologi. Projek pembangunan vaksin sampar ayam boleh dianggap sebagai sebuah projek yang sangat berkesan dalam pembangunan industri ayam di negara ini kerana telah dimulakan sejak empat puluh (40) tahun (1973-2013) yang lalu dan masih dapat memberi sumbangan kepada negara.

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam bidang sains dan teknologi, Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim telah menjadi penerima pertama bagi SvenBrohult Award daripada International Foundation of Science (IFS) Sweden pada tahun 1984 dan turut memenangi Anugerah Sains Negara pada tahun 1985 yang dianjurkan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar. Beliau telah menerima dua (2) Ijazah Doktor Kehormat yang dianugerahkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pengiktirafan kepada beliau dalam membangunkan bidang bioteknologi. Beliau dilantik sebagai Penasihat Bioteknologi kepada Kerajaan Negeri Selangor dari tahun 2003 sehingga kini.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim secara ringkasnya dapat digambarkan sebagai seorang pakar pendidikan yang terkemuka dalam bidang perubatan veterinar dan mikrobiologi. Beliau juga seorang ilmuwan yang terkenal dan tersohor dalam bidang sains hayat dan bioteknologi serta merupakan seorang saintis yang terbilang dalam bidang teknologi vaksin dan kimia hijau.

  • Hits: 831
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)