Anugerah Penerbitan Buku

Penerima
Dr. Norhayati binti Ab. Rahman
Institusi
Universiti Malaya (UM)

Dr. Norhayati binti Ab. Rahman

Dr. Norhayati binti Ab. Rahman merupakan anak kelahiran negeri Kelantan Darul Naim dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya (UM) dalam bidang pengajian seni. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kesusasteraan melayu di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dr. Norhayati binti Ab. Rahman kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM). Bidang pengkhususan beliau ialah kesusateraan melayu moden, kesusasteraan tradisional, kesusasteraan bandingan serta kesusasteraan dan gender. Beliau telah banyak menghasilkan penulisan serta penerbitan berbentuk makalah akademik seperti jurnal, prosiding, monograf atau bab dalam buku dan kertas kerja pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara buku-buku yang telah diterbitkan termasuklah Citra Wanita Dalam Novel Kontemporari Indonesia dan Malaysia (2007), Bahasa dan Gender : Eksplorasi Daripada Lensa Feminis (2008), Gender dalam Sastera Melayu (2013) dan lain-lain lagi.

Karya Dr. Norhayati binti Ab. Rahman telah diiktiraf apabila beliau berjaya memenangi Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 bagi buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik. Buku ini telah memberi impak yang positif dan besar kepada masyarakat di Malaysia dan negara-negara serantau seperti Singapura dan Thailand serta dianggap sebagai bidang kajian bersifat baharu dalam disiplin kritikan sastera di Malaysia dan Nusantara. Malah negara luar seperti Australia juga menjadikan buku ini sebagai salah satu sumber rujukan dengan menempatkannya di Perpustakaan Nasional Australia.

Ulasan Buku:

Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik

Kajian ini bertumpu kepada penulisan novel yang dihasilkan oleh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia, dianalisis secara perbandingan dalam usaha menemukan keperibadian diri "pengarang wanita" yang berwibawa, memiliki sifat-sifat jati diri, keperibadian dan kepengarangan yang tersendiri.

Segala hasil penulisan kreatif mereka menyerlahkan pendirian dan ketegasan mereka untuk membuktikan mereka adalah subjek yang mempunyai imej, pengalaman, suara, keinginan, wawasan, bahasa, budaya dan estetika yang tersendiri. Dengan corak dan semangat penciptaan sedemikian, mereka berjaya membentuk konsep dan estetika penulisan dinamakan "Puitika Sastera Wanita". Perbahasan tentang puitika sastera wanita dilakukan dengan menggunakan Teori Ginokritik oleh Elaine Showalter. Teori ini mengutamakan suatu rangka kerja yang khusus dan model-model penulisan adalah berdasarkan kepada pengalaman wanita sepenuhnya.

Hasil kajian menunjukkan bagaimana pengarang wanita membebaskan diri daripada sejarah sastera yang selama ini ditentukan sepenuhnya oleh rejim lelaki, dan seterusnya berhenti mencuba untuk menyesuaikan wanita dengan landasan tradisi patriarki. Dari situ, keseluruhan tumpuan dapat diberikan kepada perkara-perkara baharu yang ditemui dari dunia budaya wanita, serta dalam imaginasi dan daya cipta wanita.

Hasil kajian menunjukan bagaimana pengarang wanita membebaskan diri daripada sejarah sastera yang selama ini ditentukan sepenuhnya oleh rejim lelaki, dan seterusnya berhenti mencuba untuk menyesuaikan wanita dengan landasan tradisi patriarki. Dari situ, keseluruhan tumpuan dapat diberikan kepada perkara-perkara baharu yang ditemui dari dunia budaya wanita, serta dalam imaginasi dan daya cipta wanita.