Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Visual / Seni Bina / Seni Kraf)

Penerima
Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim
Institusi
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Profesor Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim

Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim dilahirkan pada 1 September 1965 di Bentong, Pahang. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Seni Bina) daripada University of Washington, Seattle, USA pada tahun 1987 dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama daripada Southern California Institute of Architecture, Santa Monica, USA pada tahun 1990. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Stanford University, Palo Alto, USA dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2005.

Minat mendalam Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim dalam bidang pembangunan dan penyelidikan seni bina membuahkan hasil apabila beliau telah tersenarai sebagai Top Research Scientist Malaysia 2012 yang juga merupakan satu-satunya penerima yang mempunyai latarbelakang pereka dan arkitek daripada Akademi Sains Malaysia. Beliau juga bertanggungjawab dalam membangunkan sistem teknologi rumah hijau bangunan perindustrian yang diperkemaskan dengan proses reka bentuk profesional iaitu pembaharuan sumber kayu secara efektif dan efisyen. Secara spesifiknya pembaharuan ini dikenali sebagai SABSystem (Spacer Architectonic Building System) yang telah dipatenkan di Amerika Syarikat pada tahun 2012.

Kegigihan Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim dalam memperkenalkan pembaharuan ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan dianugerahkan Best New Innovation (Constrution Technology), Space Architectonic Building System dari GreenBuild Asia 2012. Beliau juga telah menerima pingat perak melalui Pameran Teknologi Malaysia 2011 bagi pameran yang dikenali sebagai Spacer Architectonic Buiding System.

Manakala dari aspek penerbitan buku, beliau telah menulis sebanyak sepuluh (10) buah buku serta 12 bab dalam buku dan menerbitkan lebih 30 makalah serta jurnal.

Sistem pembinaan yang berasaskan inovasi sumber kayu yang telah direka oleh Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim telah mula mendapat perhatian dari industri pembinaan tempatan dan luar negara. Selaku perintis kepada projek ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memberi geran penyelidikan sebanyak RM2.2 juta bagi pembangunan sistem ini dan RM2.0 juta untuk penggunaan SABSystem bagi cadangan penstrukturan Green Village (Mini Smart City) di UPM Kampus Serdang. Di samping itu juga, beliau telah menguruskan sejumlah RM2.8 juta geran penyelidikan, menjadi ketua projek serta penyelidik bagi 31 projek penyelidikan dan mempunyai lebih dari 100 orang pelajar yang bergraduasi semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Dekan.

  • Hits: 300
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)