Slider

Tokoh Akademik Negara

Penerima
Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba
Institusi
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Profesor Emeritus Tan Sri Dato Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dilahirkan pada 31 Oktober 1935 di Rembau, Negeri Sembilan merupakan tokoh akademik yang terkenal dalam bidang agronomi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Chembong dan meneruskan pengajian di Government English School, Tampin. Beliau merupakan pemegang Diploma Pertanian daripada Kolej Pertanian Malaya, Serdang dan seterusnya melanjutkan pengajian di University of Reading, United Kingdom dalam bidang sains pertanian dan berjaya memperoleh Ijazah Kedoktoran Sains Pertanian daripada University of Leeds, United Kingdom.

Kewibawaan dan ketokohan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dalam sejarah pendidikan negara terserlah apabila menjadi anak watan yang pertama yang dilantik memegang jawatan Pengetua, Kolej Pertanian Malaya dari tahun 1965 hingga 1969 dan membawa Kolej Pertanian Malaya ke satu tahap yang amat membanggakan pada masa ini selaras dengan penubuhan Universiti Pertanian Malaysia sehinggakan diberi jolokan "Bapa Pembangunan Kolej Pertanian Malaya". Kejayaan beliau dalam menerajui dan membangunkan Kolej Pertanian Malaya telah menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak apabila beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia selama tiga (3) tahun bermula tahun 1969. Minat yang tinggi dan kecenderungan beliau dalam bidang pertanian telah menyumbang kepada pelantikan sebagai Naib Canselor yang pertama menerajui Universiti Pertanian Malaysia dari tahun 1971 hingga 1982. Selaku Naib Canselor pertama, beliau telah berjaya menubuhkan sembilan (9) buah fakulti dan dua (2) pusat yang mengendalikan sembilan belas (19) program ijazah, sembilan (9) program diploma dan satu (1) program profesional serta ijazah lanjutan.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba turut bekerjasama berganding bahu dalam menerajui penswastaan pertama negara iaitu Syarikat Telekom Malaysia Berhad sebagai Pengerusi Eksekutif pada tahun 1987 sehingga 1995. Beliau juga adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dan turut menganggotai lembaga pengarah syarikat untuk beberapa anak syarikat Kumpulan Guthrie Berhad bermula tahun 1982 sehingga 1987. Pelantikan beliau sebagai Pengarah Bebas di Unisem (M) Berhad masih diteruskan sehingga ke hari ini sejak tahun 1998. Kemuncak kepada ketokohan beliau sebagai tokoh pendidik adalah dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999.

Anugerah kehormat akademik lain yang diterima oleh beliau adalah anugerah Doctor of Science daripada University of Reading, United Kingdom (1986), Doctor of Law daripada University of Leeds, United Kingdom (1989), dan Doctor of Science daripada Universiti Multimedia (2006).

Kepimpinan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba juga terserlah dalam menjawat jawatan penting di peringkat kebangsaan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Tun Abdul Razak (1972-1989), Member, Court of Fellow of Malaysia Institute of Management (MIM) (1979), Presiden, Harvard Business School Alumni Club Malaysia (1983-1984), Pengerusi Lembaga Penasihat, Perpustakaan Malaysia (1984), Ahli Kehormat Seumur Hidup, Persatuan Pustakawan Malaysia (2005), Felo Kanan, Akademi Sains Malaysia (ASM), First Honorary Member, Malaysian Society of Agricultural Engineers (MSAE) dan Honorary Fellows, British Graduates Association Malaysia. Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat, Regional Cooperation in Education in Asia and The Pacific (UNESCO) (1979-1982), Fellow, Telecommunications Executive Management, Institute of Canada (1988), Chairman The Telecommunication Development Advisory Board, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York (1993-1995), dan Presiden, Asian Association of Agricultural Colleges and Universities (AAACU) (1977).

Bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dalam bidang pendidikan tinggi dan sumbangan beliau dalam memajukan dasar penswastaan negara, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Bintang Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran 'Tan Sri' yang diterima pada tahun 1974. Selain itu, beliau turut dianugerahkan sebagai Malaysia's CEO of the Year oleh Business Times and American Express Corporate Services pada tahun 1995.

  • Hits: 2962
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)