Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Penerima
Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan
Institusi
Universiti Sains Malaysia (USM)

Prof. Ir. Dr. Srimala AP Sreekantan

Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan dilahirkan pada 1 Mar 1974 dan merupakan anak kelahiran Johor. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang Kejuruteraan Bahan pada tahun 1995 dan 1999. Beliau memperoleh PhD pada tahun 2001 dari Universiti Sains Malaysia dan University of Sheffield (Twinning Program). Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia.

Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan merupakan seorang ahli akademik melibatkan diri dengan meluas dalam aspek pengajaran, penyelidikan dan pengkomersialan. Kepakaran beliau adalah berkenaan nano-bahan dan telah melibatkan diri selama sepuluh (10) tahun dalam penyelidikan teknologi berkaitan nano-bahan yang dapat memberi impak yang signifikan bagi pembangunan tenaga hijau, bioperubatan, dan aplikasi teknologi tersebut kepada alam sekitar.

Ciptaan unik dan inovatif Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan iaitu Nano-TiO2 telah menerima penganugerahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya adalah Gold Medal in International Exhibition of Inventions New Techniques and Products di Geneva, Switzerland (2009), Gold Medal and Best Award in Malaysian Technology Expo, Kuala Lumpur (2010), Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE) di Seoul, Korea (2011), Gold Medal for Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE) di Seoul, Korea (2011), Gold Medal for International Trade Fair : Ideas – Inventions – New Products, di Nuremberg, Jerman (2011), Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE) di Seoul, Korea (2011), Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE) di Seoul, Korea (2011), Gold Medal from British Invention Show (BIS) di London, United Kingdom (2012), dan Gold Medal in Malaysia Technology Expo (2013). Pengiktirafan yang tinggi terhadap kajian dan produk beliau serta perundingan bersama syarikat SME dan syarikat multinasional telah dapat memenuhi keperluan masyarakat dan industri di samping mempertingkatkan rangkaian dan meningkatkan imej universiti secara khususnya.

Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan juga telah menyumbang kepakaran dan ilmu dalam penerbitan saintifik dan pembangunan sumber manusia. Beliau telah menerbitkan lebih daripada 120 artikel dalam jurnal berimpak tinggi ISI dan membuat pembentangan lebih 140 kertas kajian di persidangan antarabangsa dan kebangsaan. Beliau juga telah menyelia seramai sebelas (11) orang pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan lapan (8) orang pelajar di peringkat Sarjana yang telah tamat pengajian dengan jayanya.

Ulasan Produk:

Nano-TiO2

Nano-TiO2 dikomersialkan daripada kerja-kerja penyelidikan untuk menangani kebimbangan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) secara global dan seterusnya dapat meningkatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang inovatif dan maju dalam bidang penyelidikan. Kualiti Udara Dalaman (IAQ) telah mencapai tahap kritikal di mana ia adalah 2 hingga 5 kali lebih tinggi daripada pencemaran udara di luar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), paras IAQ yang rendah merupakan punca kematian bagi 4.0 juta orang setiap tahun. IAQ yang serius boleh memudaratkan kesihatan manusia dan menjejaskan produktiviti yang akan menyumbang kepada ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi.

Nano-TiO2 telah dicipta bagi tujuan menangani masalah ini dan merupakan produk yang berasaskan air lut cahaya yang disalut pada permukaan seperti dinding, siling dan lantai menggunakan kaedah semburan. Semburan ini akan membentuk satu lapisan perlindungan dan dapat mengurai bahan cemar dan membunuh mikrob pada permukaan dengan pencahayaan dan keadaan ini akan membantu membersihkan udara dalaman. Nano-TiO2 bukan merupakan alat peranti berasaskan teknologi dan oleh itu alat ini tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan dan kos operasi.

Nano-TiO2 merupakan produk yang mempunyai impak yang luar biasa untuk negara Malaysia kerana ciri-ciri keasliannya seperti bersaiz nano, jangka hayat yang panjang, tidak toksik, keupayaan mengikat dengan baik dan penghabluran tinggi. Ciri-ciri ini membolehkan Nano-TiO2 berfungsi dengan sangat efektif dan berkesan di bawah mana-mana sumber cahaya dalam apa jua keadaan persekitaran (tanpa mengira musim). Satu lapisan salutan Nano-TiO2 dapat berfungsi dengan baik sepanjang tahun tanpa memerlukan sebarang peralatan atau kelengkapan tambahan.

Produk ini juga mempunyai pelbagai fungsi seperti pembersih udara, disinfektan dan pembersihan diri dan ini membolehkan penggunaan produk dalam pelbagai sektor. Penggunaan Nano-TiO2 dapat mengurangkan penggunaan bahan pembersihan yang mempunyai kandungan berbahaya, mengurangkan masa dan kos pembersihan, meningkatkan kesihatan dan produktiviti manusia.

Teknologi Nano-TiO2 telah memenangi beberapa anugerah berprestij iaitu tiga (3) di peringkat kebangsaan dan enam (6) di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan ini juga menyokong merit saintifik serta keperluan masyarakat dan industri untuk Nano-TiO2. Produk ini telah menembusi pasaran di beberapa buah negara seperti India, Sweden, Denmark, Perancis, Australia, Portugal, Afrika, Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara. Kejayaannya di pasaran antarabangsa adalah bukti kepada kualiti dan ciri-ciri nilai tambah yang dimiliki oleh Nano-TiO2. Nano-TiO2 telah memiliki pensijilan ISO dan menembusi ke dalam pasaran antarabangsa dengan jualan kasar sebanyak RM864,000 pada tahun 2014 dan telah meningkat pertumbuhannya sebanyak 40% pada tahun 2015. Pendapatan kumulatif bagi jualan Nano-TiO2 adalah sebanyak RM2.1 juta.

Nano-TiO2 telah memberi sumbangan besar dalam kemapanan alam sekitar, pembangunan ekonomi, imej negara dan kesejahteraan masyarakat kerana Nano-TiO2 merupakan satu produk yang memenuhi keperluan abad ini bagi mengatasi masalah IAQ yang merupakan satu kebimbangan global.