Slider

Anugerah Penerbitan Buku

Penerima
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
Institusi
Universiti Malaya (UM)

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad Ahamad

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lahir pada 1964 di Chemor, Perak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sastera dan PhD dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya (UM) dan beliau kini menjadi pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, UM.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad juga pernah menjadi wartawan dan subeditor akhbar Watan selama hampir dua (2) tahun dan kerap dilantik sebagai hakim sayembara sastera dan hadiah penghargaan sastera: Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2015, Hadiah Sastera Darul Ta’zim, Hadiah Sastera Darul Iman, Anugerah Sastera Negeri Kelantan, Hadiah Sastera Penulis Sarawak, Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2014/2015, Sayembara Fiksyen Sains dan teknologi UTM-Kumpulan Utusan, Sayembara Novel Sejarah Johor Darul Ta’zim, dan lain-lain lagi.

Karya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah diiktiraf dengan memenangi beberapa sayembara penulisan seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Sayembara Cerpen Esso-Gapena VII, Sayembara Cerpen DBKL-DBP (1990), Sayembara Cerpen Inter-Varsiti. Beliau juga telah banyak menghasilkan penulisan serta penerbitan berbentuk makalah akademik seperti makalah jurnal, prosiding, dan kertas kerja pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara buku-buku yang telah diterbitkan termasuklah Pencerekaan Dalam Novel Sejarah (2005), Memartabatkan Persuratan Melayu (2006) dan lain-lain lagi. Hasil cemerlang beliau dalam bidang penulisan, beliau kini merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) (2010 hingga kini) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), ahli seumur hidup Lembaga Pembangunan Sastera Negeri Perak (LEPAS), ahli Persatuan Editor Malaysia dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penerbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia-PENA.

Ulasan Buku:

Oksidentalisme Dalam Sastera Melayu Sebelum Merdeka Hingga Era Mahathir Mohamad

Buku ini merupakan hasil kajian ilmiah terhadap karya persuratan Melayu di Malaysia yang memaparkan imej dan identiti Barat dan bertumpu kepada wacana oksidentalisme. Oksidentalisme ialah pandangan dan penulisan pribumi yang memberi reaksi terhadap Orientalisme yang datang secara terancang bersama Imperialisme Barat. Dalam konteks Malaysia, wacana Orientalisme dibalas dengan wacana Oksidentalisme menerusi karya-karya sastera Melayu sejak era kolonial sehingga era Mahathir Mohamad. Buku ini memberi tumpuan kepada karya sastera pribumi di tanah jajahan yang memberi reaksi secara intelektual tanpa sebarang agenda.

Wacana Orientalisme bersifat dominatif dan memberikan persepsi yang merendah-rendahkan dunia Timur, manakala Oksidentalisme dalam Kesusasteraan Melayu yang diketengahkan oleh penulis adalah bersifat seimbang, iaitu menerima nilai Barat yang baik sebagai positif dan yang buruk sebagai negatif.

Perbincangan penulis melalui kajian ini adalah dengan menggunakan teori kritikan Pascakolonial yang digabungkan secara eklektik dengan teori sosiologi. Karya-karya yang dibahaskan termasuk yang diterbitkan dalam era pentadbiran Dr. Mahathir yang terkenal sebagai pengkritik keras terhadap dunia Barat. Pemikiran dibentangkan dalam bentuk yang koheren, idea yang bertaut dengan rumusan yang kukuh dan mantap. Buku ini juga telah diulas di dalam majalah dan akhbar tempatan serta dikupas dalam forum ilmiah di dalam dan luar negara. Buku ini berpotensi untuk mengubah persepsi pembaca tentang pandangan masyarakat Melayu terhadap orang dan dunia Barat secara khususnya.

  • Hits: 626
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)