Slider

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Penerima
Prof. Dr. Mohamad Roji bin Sarmidi
Institusi
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi

Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi dilahirkan pada 18 Jun 1960 dan berkelayakan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Aston University, United Kingdom. Terdahulu daripada itu, beliau memperoleh Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Surrey, United Kingdom dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Biokimia di University of Birmingham, United Kingdom.

Berkhidmat sebagai Profesor (Kejuruteraan Bioproses) di Universiti Teknologi Malaysia dengan memulakan karier pada tahun 1984 sebelum dilantik sebagai Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP) pada tahun 1999 hingga 2008. Pada tahun 2008 hingga Jun 2010, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi dilantik sebagai Timbalan Pengarah CEPP. Pengalaman sebagai penyelidik dan pentadbir akademik telah membuatkan beliau dilantik sebagai Dekan Penyelidikan Bersekutu Bioteknologi sehingga 31 Mei 2014. Beliau juga merupakan pengasas Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocess (ICA) dan seterusnya Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi dilantik sebagai Pengarah ICA pada 1 Januari 2013 hingga kini. Beliau juga memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) mulai 1 Februari 2015 sehingga kini. Selain itu, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Phyto Biznet Sdn. Bhd., syarikat hiliran UTM.

Pada tahun 2005 hingga 2010, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi menerajui projek khas pembangunan Makmal Metabolic Profiling di IBD dengan peruntukan sebanyak RM 7.2 juta oleh Kementerian Kewangan. Beliau aktif dalam aktiviti pembangunan bioproduk dan telah berjaya mengumpul beberapa paten serta menyandang beberapa Anugerah Penyelidikan. Beliau merupakan Pengerusi Pengasas Persidangan Antarabangsa Bioteknologi untuk Industri Kesihatan (ICBWI) sejak tahun 2008 hingga kini serta Ketua Editor Jurnal Antarabangsa Bioteknologi untuk Industri Kesihatan. Selain itu, beliau merupakan Ahli Bersekutu Institut Jurutera Kimia dan Timbalan Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi Malaysia.

Ulasan Produk:

Minyak Kelapa Dara

Minyak Kelapa Dara (Virgin Coconut Oil) atau lebih dikenali sebagai VCO merupakan produk kelapa bernilai tinggi dari sudut nutraseutikal dan makanan berfungsi; dan digunakan dalam bidang kosmeseutikal sebagai bahan asas campuran, pelembap kulit dan perapi rambut. Penghasilan VCO terbahagi kepada proses kering dan proses basah.

Proses kering menggunakan isi kelapa yang dikeringkan terlebih dahulu dan diperah untuk mendapatkan minyak. Manakala proses basah melibatkan 'cold pressed', fermentasi, enzim, 'teknik masak' dan kaedah empar. Setiap teknik ini menggunakan santan sebagai bahan asas untuk menghasilkan VCO. Walau bagaimanapun, hasil minyak yang diperolehi daripada kaedah-kaedah ini hanya 30-40 peratus sahaja. Minyak yang dihasilkan juga berkualiti rendah kerana mengandungi kelembapan yang tinggi menyebabkan ia cepat tengik.

Teknologi proses basah bersepadu (TPBB) ‘integrated wet proses’, yang dipatenkan telah diperkenalkan oleh Institut Pembangunan Bioproduk, Universiti Teknologi Malaysia bagi mengatasi permasalahan yang dinyatakan. Kaedah ini dilakukan tanpa pemanasan dan tiada bahan tambahan. Hasil minyak yang diperolehi adalah 85 peratus lebih tinggi daripada kaedah basah, lebih berbau harum dengan rasa lemak manis berbanding fermentasi yang mengeluarkan sedikit bau dan rasa masam. Kaedah ini juga merupakan teknik cepat untuk menghasilkan VCO yang mempunyai daya rintangan haba yang tinggi. Teknologi proses basah bersepadu turut mempamerkan kualiti yang lebih baik.

Kandungan lipid yang terdiri daripada asid lemak dan sterol adalah penting kerana mempengaruhi diet dan metabolisma di dalam sel. Oleh itu, dengan mengenalpasti profil metabolit lemak adalah penting dalam memahami fungsi minyak kelapa yang mengubah metabolisma tubuh dan seterusnya memberi kesan baik kepada kesihatan. Teknik pemprosesan yang betul harus dipilih kerana ia akan mempengaruhi kandungan triasilgliserol di dalam minyak kelapa dara. Triasilgliserol merupakan bahan penting bersifat antivirus, antibakteria, antikaries, antiplak dan antiprotozoa. Ini mengesahkan bahawa minyak kelapa dara yang dihasilkan daripada TPBB memberi hasil dan kualiti yang terbaik berbanding proses basah dan kering yang lain.

Proses VCO yang telah dibangunkan dapat menjimatkan kos kerana jangkamasa proses dapat dipendekkan dari 2-3 hari kepada 6 jam proses jika dibandingkan dengan proses basah. Kualiti produk juga didapati lebih baik berbanding dengan kaedah proses yang sedia ada iaitu proses basah dan kering. Apabila masa proses dapat dikurangkan maka penjimatan kos juga akan berlaku dan disamping itu juga bahan mentah iaitu santan kelapa merupakan bahan yang mudah didapati di Malaysia. Aspek yang lebih penting juga ialah kualiti minyak yang dihasilkan mempunyai mutu yang tinggi.

Dari segi produktiviti, kaedah proses yang dibangunkan mempunyai tahap produktiviti yang tinggi dimana jumlah minyak yang terhasil adalah tinggi jumlahnya serta mempunyai kualiti minyak yang baik. Peralatan proses yang dibangunkan juga amat berkesan dari segi penggunaan sumber manusia kerana ia beroperasi secara semi-auto. Rekabentuk kilang direka dengan penuh teliti supaya produktiviti dapat ditingkatkan serta mengurangkan penggunaan tenaga dan pembuangan sisa supaya ianya adalah mesra alam.

Produk minyak kelapa dara telah mula dikomersialkan dan dijual dipasaran tempatan bermula pada tahun 2010 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 400 liter hingga 500 liter sebulan. Produk tersebut dipasarkan dibawah jenama Living Active. Permintaan dan penjualan produk tersebut meningkat saban tahun dan pada tahun 2016 kilang proses minyak kelapa dara yang baharu telah dibangunkan bagi menghasilkan sasaran 4.5 hingga 5 tan minyak kelapa dara sebulan. Hasil jualan produk minyak kelapa dara dari tahun 2010 hingga tahun 2016 adalah sebanyak RM 1,155,584.57.

Produk ini telah menerima beberapa anugerah diantaranya Bio Innovation Awards 2011, 2012 & 2013 dan Pecipta 2011. Produk minyak kelapa dara tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar serta tidak menggunakan bahan kimia dan sintetik didalam fasa pemprosesan serta pemformulasian membuatkan ianya produk yang amat lestari dan tidak merbahaya. Dengan wujudnya satu industri minyak kelapa dara serta produk yang disokong oleh penyelidikan yang jitu dan berkualiti tinggi, Malaysia berupaya dikenali sebagai negara yang berupaya mengeksport produk ini dan pada masa yang sama menyumbang kepada pendapatan kasar negara.

  • Hits: 483
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)