Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan)

Penerima
Prof. Madya Dr. Tazul Izan bin Tajuddin
Institusi
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin

Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin dilahirkan pada 31 Januari 1969 di Banting, Selangor. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Muzik (Komposisi) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1991 dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama daripada Carnegie Mellon University, USA pada tahun 1996. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di University of Sussex, UK dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2002.

Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin merupakan seorang ahli akademik, komposer, penggubah yang berpengalaman luas di dalam komposisi muzik secara profesional dan akademik. Dari sudut akademik, beliau telah menjalankan penyelidikan dalam bidang komposisi menerusi geran-geran yang diterima termasuk Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dan Exploratory Research Grant Scheme (ERGS). Beliau juga telah menerima beberapa pengiktirafan seperti Visiting Scholar dari Harvard University dan Fulbright Award daripada Council of International Exchange Scholars (CIES) Washington DC, USA.

Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin telah menghasilkan skor muzik yang kreatif yang menggabungkan genre muzik tradisional Melayu seperti gamelan, makyong, serta muzik cina dan muzik klasik barat. Skor – skor muzik beliau telah diterbitkan oleh Alexander Street Press (ASP) dalam talian dan Babelscores (France). Karya beliau telah dipersembahkan di Australia, London, Indonesia, Cyprus, Kanada, Jerman, Poland, Jepun, Hong Kong, Sepanyol dan United Kingdom. Karya-karya tersebut telah meletakkan Malaysia di dalam bidang ‘niche’ komposisi muzik-seni di persada antarabangsa.

Karya Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin memberi impak kepada dunia muzik eksperimental (Contemporary Western Art Music) yang menjanakan pemikiran dan pembikinan dalam penggunaan gabungan idiom muzik etnik. Di samping itu, beliau juga telah menggabung jalinkan unsur persembahan makyong, wayang kulit dan wayang wong.  Beliau telah membuka satu dimensi baharu dalam konteks seni persembahan. Sebagai anak bangsa Melayu, karya-karya muzik seni yang beliau hasilkan adalah untuk menaikkan dan memartabatkan unsur-unsur seni budaya Melayu di dalam pengkaryaan muzik seni kontemporari di persada antarabangsa.

Prof. Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin telah memenangi pelbagai pertandingan komposisi muzik di peringkat antarabangsa seperti Toru Takemitsu Composition Award 2002, 8th Tokyo International Competition for Chamber Music Composition 2003, Molinari Quartet International Composition Competition 2004 (Canada), 21st Japan Society of Music Award 2004, Lutoslawski Composition Award 2005 (Poland) dan New Millennium Composition Commission Award (UK) 2005. Kebanyakan anugerah dan pengiktirafan yang diterima adalah yang pertama bagi anak bangsa Melayu.