Slider

Anugerah Penerbitan Buku

Penerima
Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor
Institusi
Universiti Malaya (UM)
Judul
The Significance of Islamicjerusalem in Islam

Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor lahir pada 4 Ogos 1976 dan berkelulusan PhD (Islamic Studies), University Of Aberdeen dan beliau kini berkidmat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Beliau aktif di dalam bidang penerbitan selain dari turut terlibat di dalam penyelidikan serta hal ehwal akademik yang lain seperti penyeliaan, pengajaran, pembentangan dalam seminar dan lain-lain. Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor berjaya menerbitkan sejumlah makalah di dalam jurnal yang berimpak tinggi yang diindeks oleh ISI Thomson Reuters (Clarivate Analytics) dan juga jurnal yang diindeks oleh Scopus. Terdapat juga makalah yang diterbitkan di dalam jurnal-jurnal terujuk peringkat antarabangsa.   

Di samping penerbitan makalah di dalam jurnal, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor juga turut menerbitkan buku sebagai penulis, penulis bersama dan juga sebagai editor. Buku-buku tersebut ada yang diterbitkan oleh penerbit universiti dan ada juga yang diterbitkan oleh penerbit luar hasil rangkuman dari kertas kerja yang dibentangkan di dalam seminar-seminar. Buku beliau bertajuk The Significance Of Islamicjerusalem In Islam yang diterbitkan pada tahun 2017 oleh UMPRESS @ Penerbit Universiti Malaya telah mendapat anugerah buku terbaik Hadiah Utama bagi Kategori Sains Sosial pada bulan April 2018. Anugerah tersebut diberikan oleh pihak MAPIM (Majlis Penerbit Buku Ilmiah Malaysia) dan KPM (Pendidikan Tinggi).

Ulasan Buku:

THE SIGNIFICANCE OF ISLAMICJERUSALEM IN ISLAM

Buku ini menjelaskan mengenai kedudukan dan status Baitul Maqdis (Islamicjerusalem) di dalam Islam. Ia adalah sebahagian dari usaha untuk menjawab pandangan Orientalis (kedua-duanya sarjana barat dan sarjana Yahudi) yang menyatakan bahawa Baitul Maqdis tidak penting di dalam Islam. Topik dan tema buku ini, iaitu mengenai kepentingan Islamicjerusalem (Baitul Maqdis) dalam Islam, amat relevan sekarang dalam rangka menolak pandangan, dakyah dan pengaruh Orientalis mengenai kedudukan Jerusalem (Baitul Maqdis) dalam Islam. Kedua-duanya topik dan tema ini amat penting ditonjolkan dalam usaha menegakkan hakikat bahawa sesungguhnya Jerusalem menduduki tempat yang penting dalam Islam.

Buku ini telah memberikan dampak kepada komuniti ilmu dan juga masyarakat awam. Ia menjelaskan bahawa kesucian kota Baitul Maqdis telah dikongsikan oleh tiga agama samawi ketika kota itu berada di bawah pemerintahan Islam. Hal ini tepat seperti yang dinyatakan oleh sarjana tersohor Karen Armstrong dalam frasa terkenal "one city, three faiths." Ia juga adalah sebuah model inklusif dalam hubungan Muslim non-Muslim di mana umpamanya terdapat contoh yang nyata bahawa Khalifah Umar telah memberikan Jaminan Keselamatan kepada Penduduk Aelia yang terdiri daripada pelbagai kelompok ras, bangsa dan agama. Begitu juga perbincangan mengenai konsep keberkatan Masjidil Aqsa, ianya merupakan pusat keberkatan dan ia boleh dikecapi oleh sesiapa sahaja.

Untuk itu, buku ini juga membawa mesej untuk mencari jalan perdamaian di dalam dunia yang bergolak terutama apabila isu-isu hubungan dengan Yahudi dimainkan. Nyata buku ini sesuai di baca oleh sesiapa sahaja hatta sesuai untuk dibedah di dalam kuliah-kuliah akademik mahupun awam, di masjid dan sebagainya.

  • Hits: 419
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)