Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera Gunaan & Sains Sosial Gunaan)

Penerima
Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim
Institusi
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim dilahirkan pada 21 Mei 1968. Beliau menerima ijazah kedoktorannya dalam bidang psikologi pendidikan, khususnya dalam pembelajaran melalui mediasi dari University of Nottingham, UK. Beliau merupakan seorang Profesor Madya dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Kolej Sains adan Sastera, UUM. Beliau telah berkhidmat di UUM sejak 1996 dan telah mengajar pelbagai kursus, termasuk kursus bahasa Inggeris dan kursus berasaskan psikologi pendidikan di peringkat sarjanamuda dan sarjana.

Minat utama Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim dalam penyelidikan meliputi keterlibatan pelajar semasa pembelajaran berlaku terutama melalui mediasi dalam mengembangkan kemampuan guru dan pelajar untuk belajar. Ini dilaksanakan dengan cara membantu guru untuk mewujudkan amalan komuniti (community of practice) yang melibatkan pembelajaran kolaboratif untuk berlaku secara bersemuka di kalangan pelajar dan guru serta melalui persekitaran maya dan atas talian.

Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim juga telah terlibat dalam beberapa projek yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia termasuk mengetuai projek untuk membangunkan model pemudah cara yang dinamik untuk guru-guru prasekolah luar bandar dan mewujudkan sumber berasaskan literasi bagi WEB-TV menerusi mediasi afektif. Beliau juga terlibat sebagai ahli penyelidik dalam beberapa penyelidikan dasar termasuk mengkaji kesan program Finishing School di institusi pengajian tinggi di samping menyiasat kualiti program dan peranan gender dalam mata pelajaran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim juga turut terlibat dalam penyelidikan yang mengkaji pendidikan berasaskan hasil (OBE) daripada segi pemahaman, perlaksanaan dan cabaran yang dihadapi universiti awam.

Minat untuk mengembangkan kapasiti pelajar untuk belajar juga disebarluaskan dalam projek kemasyarakatannya di mana beliau membantu menubuhkan kelab neurosains di empat buah sekolah di daerah Kubang Pasu, Kedah dengan hasrat untuk memupuk pemikiran saintifik di kalangan golongan muda. Prof. Madya Dr. Fauziah binti Abdul Rahim juga terlibat sebagai salah seorang Jurulatih Utama di bawah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) mengendalikan beberapa modul di bawah teras Pengajaran dan Pembelajaran iaitu Learning Engagement and Motivation (2010-2017) dan di bawah teras kepimipinan, Coaching and Mentoring for Excellence dan Collegial Management di mana beliau mengendalikan latihan kepada ahli akademik di institusi pengajian tinggi di negara ini.