Slider

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Penerima
Prof. Dr. Rahmah binti Noordin
Institusi
Universiti Sains Malaysia (USM)

Profesor Dr. Rahmah binti Noordin

Prof. Dr. Rahmah binti Noordin dilahirkan pada 15 Disember 1961 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Indiana State University, Terre Haute, Indiana, USA pada tahun 1983 dan 1985. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang medical parasitology dan berjaya memperoleh PhD pada tahun 1993. Beliau mula berkhidmat di USM sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan dan kemudiannya dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 2000 dan Profesor pada tahun 2003. Beliau telah berkhidmat di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) selama sebelas (11) tahun sejak tahun 2004 dan merupakan salah seorang ahli pengasas INFORMM dan berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah selama lapan (8) tahun.

Bidang kepakaran Prof. Dr. Rahmah binti Noordin adalah dalam bidang bioteknologi perubatan dan parasitologi perubatan dan penyelidikannya adalah berfokus kepada penemuan penanda baru bagi penyakit parasit dan pembangunan serta penilaian ujian dipstik pantas. Beliau mula menjalankan penyelidikan penyakit limfatik filariasis brugia dan akhirnya berjaya mengkomersilkan dua kit diagnostik bagi penyakit tersebut iaitu Brugia Rapid dan PanLF Rapid. Kit Brugia Rapid telah berjaya mendapat pengiktirafan World Health Organization (WHO) dan Academy of Sciences for The Developing World (TWAS) untuk digunakan dalam program eliminasi penyakit LF brugia. Hasil daripada kejayaan tersebut, beliau telah meneruskan penyelidikan bagi penghasilan kit prototaip komersial untuk penyakit parasit lain termasuk bancroftian, filariasis, amoebiasis, strongloidiaisis, toxoplasmosis, dan toxocariasis yang masih di peringkat pembangunan dan penilaian.

Prof. Dr. Rahmah binti Noordin telah menjadi penyelidik utama untuk beberapa geran kebangsaan dan antarabangsa. Beliau juga telah menerbitkan 135 artikel dalam jurnal saintifik serta 3 bab dalam buku dan mempunyai tiga (3) paten yang telah diluluskan serta difailkan. Sumbangan dan jasa beliau dalam bidang penyelidikan tersebut telah diiktiraf dengan mendapat beberapa penganugerahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya adalah National Inventor Award daripada MOSTI (2001), ISTIC-TWAS Entrepreneurship Award (2010), The Khawarizmi International Award (2002), IFIA Cup Award for Outstanding Malaysian Inventor (2002), 29th Geneva International Exhibition of Inventions, New Techniques & Products (2001) dan Korea International Women's Invention Exposition (2011). Beliau juga pernah dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia pada tahun 2011.

Ulasan Produk:

Brugia Rapid

Brugia Rapid ialah kit diagnostik pantas dan tepat bagi mengesan penyakit filariasis limfatik (LF) brugia yang disebabkan oleh parasit bawaan nyamuk, Brugia malayi dan Brugia timori. Penyakit ini sinonim dengan kemunduran dan masih terdapat di kawasan endemik seperti di negara ASEAN, India dan Timor Leste. Gejala-gejala penyakit ini termasuklah demam berulang, pembekakan noda dan salur limfatik dan beberapa tahap pembekakan kaki. Dianggarkan seramai 120 juta orang dijangkiti penyakit ini dalam 80 buah negara di dunia.

Ujian tradisional tidak sensitif untuk mengesan penyakit ini dan memerlukan sampel darah yang hanya boleh diambil pada waktu malam sahaja. Dengan menggunakan ujian Brugia Rapid, pesakit dapat dikenal pasti lebih awal, sampel darah cucuk jari boleh diambil pada bila-bila masa dan ujian boleh dijalankan dengan segera tanpa mengira masa dan tempat. Brugia Rapid juga menggunakan antigen rekombinan BmR1 yang telah dipatenkan. Ujian ini telah dinilai secara meluas di dalam dan luar negara melalui geran penyelidikan kebangsaan dan antarabangsa. Pihak USM telah mengkomersialkan produk ini melalui anak syarikatnya iaitu USAINS Holding Sdn. Bhd. kepada Syarikat Malaysian BioDiagnostic Research Sdn. Bhd. pada tahun 2001 hingga 2009 dan kemudiannya Reszon Diagnostics International Sdn. Bhd. bermula tahun 2010. Sebagai kesinambungan daripada penghasilan kit Brugia Rapid, kit PanLF Rapid juga telah dihasilkan untuk digunakan di kawasan LF Brugia yang juga terdapat penyakit berkaitan iaitu LF bankrofti.

Pendapatan kumulatif daripada pengkomersialan produk ini sehingga tahun 2014 adalah sebanyak RM1.67 juta. Kit diagnostik Brugia Rapid bukan sahaja berjaya menjana pendapatan negara malah memberi impak yang penting pada kesihatan manusia di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

  • Hits: 619
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)