Slider

Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains)

Penerima
Prof. Dr. Hany binti Mohd Ariffin
Institusi
Universiti Malaya (UM)

Profesor Dr. Hany binti Mohd Ariffin

Prof. Dr. Hany binti Mohd Ariffin dilahirkan pada 6 November 1967 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dan Pembedahan (MBBS) serta Ijazah Sarjana dalam bidang pediatrik dari Universiti Malaya (UM). Beliau juga memperoleh kelayakan kepakaran daripada Royal College of Pediatrics and Child Health, United Kingdom. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang kanser pediatrik di UM dan berjaya memperoleh PhD pada tahun 2009. Kini, beliau berkhidmat di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan, UM.

Bidang penyelidikan Prof. Dr. Hany binti Mohd Ariffin tertumpu kepada penyakit leukemia di kalangan pesakit kanak-kanak serta Sindrom Li-Fraumeni (LFS), iaitu sindrom di mana kanser sering berlaku di kalangan ahli keluarga akibat daripada mutasi gen TP53 serta "whole genome sequencing". Beliau telah menjalankan kolaborasi dengan penyelidik-penyelidik dari negara luar contohnya dengan negara Singapura tentang peningkatan tahap penyembuhan pesakit leukemia limfoblastik akut (ALL). Hasil kajian tersebut telah berjaya menunjukkan peningkatan tahap kesembuhan pesakit ALL di Malaysia dari 56% pada tahun 2002 hingga ke paras 81% pada tahun 2010 dan diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi iaitu Journal of Clinical Oncology (FI = 18.4). Kolaborasi antara negara Brazil, Perancis dan Amerika juga dilakukan bagi menjalankan kajian berkenaan sindrom Li-Fraumeni.

Hasil penyelidikan Prof. Dr. Hany binti Mohd Ariffin berkenaan penyakit leukemia di kalangan pesakit kanak-kanak serta Sindrom Li-Fraumeni (LFS) ini telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa yang terkenal iaitu Proceedings National Academy of Sciences (PNAS) USA dan mempunyai impak faktor yang tinggi iaitu sebanyak 9.81. Kepakaran beliau dalam bidang ini juga terserlah apabila telah menerbitkan sebanyak enam puluh (60) artikel jurnal ISI dan mempunyai Web of Science H-index sebanyak 11 dengan 500 sitasi dari pelbagai negara. Di samping itu, beliau juga aktif dalam bidang kemasyarakatan bagi mencari dana untuk membantu pesakit-pesakit kanser pediatrik terutamanya yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah atau miskin.

Ulasan kepada makalah jurnal:

"Whole-genome sequencing analysis of phenotypic heterogeneity and anticipation in Li-Fraumeni cancer predisposition syndrome"

Individu daripada keluarga yang mengalami Sindrom Li-Fraumeni (LFS) mempunyai kebarangkalian tinggi untuk mendapat pelbagai jenis kanser akibat mewarisi mutasi pada gen TP53; iaitu gen yang bertindak mengawal pertumbuhan sel secara teratur. Pada masa ini, jenis kanser serta umur apabila kanser bermula di kalangan pesakit LFS tidak dapat diramalkan dengan tepat akibat kepelbagaian phenotype. Ini menyukarkan tugas para doktor yang cuba untuk mengesan kanser pada tahap awal serta mengatur ujian saringan dengan tepat bagi pesakit LFS ini. Pelbagai jenis mutasi gen TP53 telah dianalisis serta penelitian keseluruhan genom (whole genome sequencing) juga telah di jalankan di kalangan pesakit LFS. Hasil kajian terhadap penyakit ini telah melahirkan suatu pemahaman baru mengenai kejadian kanser pesakit LFS. Melalui konsep novel ini, penyelidik dapat merumuskan bahawa terdapat fenomena "toleransi genetik" yang membolehkan sebahagian individu dengan mutasi gen TP53 untuk mengelakkan terjadinya kanser sehinggalah boleh menghasilkan zuriat yang mewarisi mutasi tersebut dan seterusnya mewariskan mutasi itu ke generasi berikutnya. Hipotesis baru ini mempunyai impak yang tinggi dalam memahami sindrom-sindrom perwarisan kanser serta mempunyai implikasi yang penting dalam proses kaunseling kepada individu yang mengalami pelbagai jenis penyakit keturunan terutamanya yang melibatkan penyakit kanser.

  • Hits: 528
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)