Slider

Syarat dan Peraturan Anugerah Penerbitan Buku

Asas Anugerah

Anugerah ini diberikan kepada pengarang buku ilmiah karya asli yang bukunya telah menerima anugerah/hadiah buku yang berprestij pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa untuk tahun yang dinilai (yang diterbitkan pada tahun 2014 sehingga 2018) atau anugerah/hadiahnya diterima dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh tutup pencalonan pada tahun penilaian 2019. Buku berkenaan hendaklah memperlihatkan dampak ilmiah dan menerobos sempadan ilmu.

Takrifan

  1. Karya asli bermaksud karya yang dihasilkan sendiri oleh pengarang berkenaan yang julung kali diterbitkan, dan bukan terjemahan, saduran atau ciplakan/plagiat.

  2. Buku ilmiah bermaksud buku yang ditulis secara sistematik berasaskan fakta dan hasil penyelidikan yang dianalisis secara kritis melalui penghujahan ilmiah, bukan penulisan kreatif yang ditulis berasaskan imaginasi atau penulisan kewartawanan.

  3. Buku ilmiah popular bermaksud buku yang ditulis secara sistematik berasaskan fakta dan hasil penyelidikan tetapi dipersembahkan dalam bentuk, gaya dan ilustrasi yang menarik serta mudah dibaca oleh pembaca umum.

  4. Dampak ilmiah bermaksud karya tersebut tersebar dalam kalangan sarjana, berada dalam koleksi perpustakaan terkemuka kebangsaan dan antarabangsa, diwacana atau diulas dalam pelbagai media, dicetak ulang, terbitan edisi baharu, diterjemahkan, diadaptasi, jumlah royalti, bilangan pelanggan, penggunaan sebagai buku teks atau buku rujukan dan mendapat pengiktirafan lain.

  5. Penerobosan sempadan ilmu bermaksud karya tersebut menampilkan ilmu baharu atau pemikiran/pemahaman/tafsiran baharu.

  6. Pengarang bermaksud penulis buku berkenaan sama ada secara tunggal atau bersama, dan bukan penyunting, penyusun atau penterjemah.

  7. Penerbit ilmiah bermaksud penerbit karya dalam kalangan institusi awam, badan profesional atau badan kesarjanaan dalam dan luar negara yang mengamalkan proses pewasitan dan fokus terbitannya adalah bahan ilmiah.

  8. Badan pemberi anugerah berprestij bermaksud institusi atau pertubuhan berwibawa yang memberi anugerah secara tekal (kekerapan dan kematangan anugerah) dan mengamalkan kaedah penilaian dan pemilihan yang telus dan profesional.

Syarat Permohonan

Permohonan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Buku yang dikemukakan untuk kategori ini hendaklah telah memenangi anugerah / hadiah penerbitan buku yang diberi oleh mana-mana badan berprestij pada peringkat kebangsaan Malaysia atau peringkat kebangsaan di negara lain, atau di peringkat antarabangsa yang diterbitkan di antara tahun 2014 sehingga 2018 atau anugerah / hadiahnya diterima dalam tempoh lima (5) tahun penilaian. Anugerah tersebut mestilah telah dilaksanakan oleh penganjurnya secara tekal termasuk untuk tahun yang dinilai (iaitu 2014 sehingga 2018).

    Anugerah/hadiah yang dipertimbangkan untuk anugerah penerbitan buku adalah:

    1. Peringkat Kebangsaan
      • Malaysia
        • Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM-KPM)
          (Kategori Buku Ilmiah Terbaik)
          (Kategori Buku Ilmiah Popular Terbaik)
        • Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Dewan Bahasa dan Pustaka)
          (Kategori Kajian Sastera)
        • Hadiah Buku Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA)
        • Anugerah Karya Ilmiah (Dewan Bahasa dan Pustaka)
        • Anugerah Buku Negara
          (Kategori Anugerah Pengajian Tinggi)
      • Negara Lain
        • Islamic Book Fair Award (Indonesia)
        • Khatulistiwa Literary Award (Indonesia)
        • USA National Book Awards (USA)
        • British Book Awards (UK)
    2. Peringkat Antarabangsa
      • Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA)
      • ICAS Book Prize (Belanda)
      • Costa Book Awards (UK; ilmiah kesusasteraan)
      • Guardian First Book Awards (UK; ilmiah)
      • Harry J. Benda Awards (USA)
      • AAS Book Prize (USA)
      • Royal Society Science Book Prize (UK)
      • Sharjah International Book Awards (UAE)
      • Global Ebook Awards (USA)
  2. Buku ini memperlihatkan pertautan idea dari bab ke bab. Ia bukanlah buku terjemahan, suntingan, prosiding, koleksi kertas kerja, himpunan esei, tesis/disertasi (melainkan telah dirombak dan distrukturkan semula ke bentuk buku), kumpulan syarahan atau laporan penyelidikan/ teknikal/ perundingan.

  3. Buku ini hendaklah ditulis oleh tidak lebih daripada lima (5) orang pengarang. Namun, permohonan hendaklah dikemukakan oleh seorang pengarang sebagai wakil dengan persetujuan pengarang bersama. Sekiranya buku ini menang, semua pengarang (yang memenuhi syarat) akan berkongsi anugerah.

  4. Buku ini telah diterbitkan dalam bahasa Melayu atau Inggeris di antara tahun 2014 sehingga 2018.

  5. Selain buku bercetak, buku elektronik juga boleh dipertimbangkan. Format buku elektronik yang boleh diterima ialah PDF, EPUB atau ePUB3.

  6. Buku ini hendaklah diterbitkan oleh penerbit ilmiah yang berwibawa, berprestij dan diiktiraf.

  7. Buku ini perlulah memperlihatkan dampak ilmiah yang memberi kesan positif kepada komuniti ilmu, industri atau masyarakat pada amnya.

Kriteria Penilaian

  1. Buku ini telah memenangi anugerah yang berprestij untuk tahun yang dinilai atau anugerah/hadiahnya diterima dalam tempoh lima (5) tahun sebelum tarikh tutup pencalonan pada tahun yang dinilai (2018).

  2. Buku ini diterbitkan menurut amalan penerbitan ilmiah yang piawai di peringkat antarabangsa.

  3. Buku ini memperlihatkan dampak ilmiah dan menerobos sempadan ilmu.

  4. Buku ini belum pernah dicalonkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN).

  5. Pengarang dan universiti boleh menghantar lebih daripada satu pencalonan pada tahun yang dinilai.

Nilai Anugerah

Nilai Anugerah Penerbitan Buku ialah RM50,000 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu) berserta sebuah piala dan sijil penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekiranya pengarang lebih daripada seorang, maka hadiah wang tunai dan piala akan dikongsi bersama (mekanisme pengagihan adalah tanggungjawab wakil). Semua nama akan tertera pada sijil penghargaan. Seandainya, terdapat pengarang yang meninggal dunia selepas penilaian, maka bahagian anugerah yang layak untuknya akan diberikan kepada warisnya. Jika terdapat seorang daripada pengarang meninggal sebelum permohonan, buku tersebut masih boleh dikemukakan dengan syarat wakil perlu mendapat keizinan waris pengarang tersebut. Hanya ahli akademik warganegara Malaysia layak menerima anugerah ini.

Muat Turun

  • Hits: 1453
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2019 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)