Program Hari Bersama Pelanggan PPTS Siri 4/2017 yang berlangsung pada 4 April 2017 memfokuskan kepada pengurusan pelajar antarabangsa dan tenaga pengajar ekspatriat.

Program kali ini yang berkonsepkan taklimat daripada agensi yang berkaitan dengan pengurusan pelajar antarabangsa dan proses permohonan pas penggajian bagi tenaga pengajar ekspatriat telah dihadiri oleh 182 institusi yang memiliki Kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa dan tenaga pengajar ekspatriat daripada seluruh semenanjung Malaysia. Seramai 350 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Eksekutif, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa (HEPAB) dan pengurusan institusi menghadiri program ini.

Sesi taklimat yang berlangsung memfokuskan kepada perkongsian maklumat antara agensi kerajaan daripada Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bahagian Khidmat Ekspatriat, JIM dan Pejabat Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Melalui perkongsian ini institusi diberi pendedahan berkaitan isu dan polisi sedia ada yang melibatkan agensi berkaitan terutamanya perihal pelajar antarabangsa dan tenaga pengajar ekspatriat.

Program ini juga turut memberi peluang kepada institusi untuk berkongsi pandangan dan mengemukakan sebarang kemusykilan mahupun persoalan berkaitan proses dan prosedur kerja di peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang diutarakan semasa sesi dialog bersama wakil-wakil pengurusan tertinggi JPT dan agensi di bawah Kementerian iaitu Education Malaysia Global Services (EMGS).