Malay Version
PENGENALAN
Berdasarkan Peruntukan Akta IPTS 1996 (Akta 555) terdapat 27 jenis kesalahan yang boleh dikenakan tindakan ke atas kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 555. Daripada jumlah tersebut 20 tergolong dalam kategori kesalahan yang boleh dikompaun. Daripada 27 jenis kesalahan tersebut 7 lagi kesalahan dikategorikan sebagai kesalahan besar.
LATAR BELAKANG
Peranan utama Bahagian Penguatkuasaan & Inspektorat (BPI), Jabatan Pengajian Tinggi adalah untuk memantau dan mengawal selia institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan pengoperasiannya selaras dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta mematuhi segala peruntukan perundangan yang termaktub di dalam Akta IPTS 1996 (Akta 555)
Bahagian ini telah menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan terhadap ketidakakuran dan salah laku IPTS dan mengambil tindakan susulan yang bersesuai dengan peruntukan Akta 555 dan peraturan-peraturan yang berada di bawahnya. Berdasarkan kajian yang dijalankan terdapat beberapa kesalahan besar yang dilakukan oleh IPTS.
TUJUH KESALAHAN BESAR
7 kesalahan besar yang dilakukan oleh IPTS di bawah peruntukan Akta 555, seperti dibawah;
- Seksyen 38(2) -IPTS mengendalikan kursus pengajian atau program latihan sebelum memperoleh kelulusan Ketua Pendaftar
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM200,000 dan penjara maksimum 2 tahun. Kesalahan di bawah seksyen ini tidak boleh dikompaun.
- Seksyen 76(2) -Seseorang yang menubuh sesuatu IPTS tanpa mengikut peruntukan Akta
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM200,000 dan penjara maksimun 2 tahun. Kesalahan di bawah seksyen ini tidak boleh dikompaun.
- Seksyen 28(3) IPTS menukar premis tanpa mendapat kelulusan Ketua Pendaftar
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 dan penjara maksimum 6 bulan. Kesalahan ini boleh ditawarkan kompaun.
- Seksyen 40(2) IPTS melanggar syarat kelulusan bagi
mengendalikan kursus pengajian. Sebagai contoh: mengambil
pelajar di bawah syarat kelayakan masuk yang ditetapkan dalam
surat kelulusan kursus pengajian
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebayak RM50,000 dan penjara maksimum 6 bulan. Kesalahan ini boleh ditawarkan kompaun.
- Seksyen 73(4) - Seseorang atau IPTS yang melanggar arahan Ketua Pendaftar di bawah seksyen 73(1) iaitu notis arahan pengiklanan ke atas IPTS yang membuat apa-apa pernyataan palsu/ mengaburi mata/menyinggung perasaan/mengelirukan di dalam iklan berhubung dengan IPTS
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 dan penjara maksimun 6 bulan.Kesalahan ini boleh ditawarkan kompaun.
- Seksyen 78 - Sesebuah IPTS yang melanggar syarat-syarat kelulusan penubuhan dan pendaftaran. Sebagai contoh: beroperasi di premis tambahan selain premis yang didaftarkan sebagai IPTS
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebayak RM50,000 dan penjara maksimun 6 bulan. Kesalahan ini boleh ditawarkan kompaun.
- Seksyen 81(1) (e) Seseorang yang mengajar di IPTS tanpa
permit mengajar dan seksyen 81(1) (f) IPTS mengambil kerja seseorang guru yang tidak mempunyai permit mengajar
Hukuman:
Kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 dan penjara maksimum 1 bulan. Kesalahan ini boleh ditawarkan kompaun.
BAHAGIAN PENGUATKUASAAN & INSPEKTORAT