RMK11
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), 2011-2015, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menambah baik pasaran buruh dan mentransformasi sistem pendidikan. Pencapaian utama termasuklah pewujudan 1.8 juta pekerjaan baharu yang menyebabkan penurunan kadar pengangguran daripada 3.3% pada tahun 2010 kepada 2.9% pada tahun 2015, yang merupakan guna tenaga penuh. Kerajaan juga memperkenalkan gaji minimum yang dianggar telah memberikan manfaat kepada 1.9 juta penerima gaji. Dalam bidang pendidikan, terdapat peningkatan enrolmen pada semua peringkat, daripada prasekolah kepada tertiari. Pengambilan tahunan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga meningkat daripada 113,000 pada tahun 2010 kepada 164,000 pada tahun 2013. Selain itu, dokumen strategi utama seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan Talent Roadmap 2020 telah menjelaskan transformasi ekosistem modal insan. Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020, akan meneruskan agenda menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki sikap positif untuk terus maju dalam ekonomi global. Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada empat bidang: menambah baik kecekapan pasaran buruh untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mentransformasi TVET untuk memenuhi permintaan industri, memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran dan menambah baik kualiti sistem pendidikan bagi peningkatan outcome pelajar dan kecemerlangan institusi.
Agenda ekonomi yang digariskan dalam RMKe-11 dijangka mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang tahun 2020 dengan sasaran penambahbaikan dalam produktiviti buruh dan pengurangan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, keduaduanya disebabkan peralihan berterusan daripada aktiviti ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi. Sebanyak 60% daripada pekerjaan yang akan diwujudkan dijangka memerlukan kemahiran berkaitan TVET. Ke arah ini, TVET dikenal pasti sebagai pemacu perubahan bagi Malaysia menghasilkan modal insan berkemahiran. Secara keseluruhannya, bidang fokus ini akan menghasilkan modal insan bertaraf dunia yang diperlukan Malaysia dalam fasa terakhir untuk menjadi negara maju.
Enrolmen pelajar pada semua peringkat dalam universiti awam, universiti dan kolej universiti swasta menunjukkan peningkatan dalam tempoh 2010- 2013 seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 5-5. Enrolmen pada peringkat PhD meningkat sebanyak 56.3%. Pada peringkat sarjana pula, enrolmen meningkat sebanyak 31.7% dan ijazah pertama sebanyak 7% dengan bilangan pelajar melebihi setengah juta. Sebanyak 53.6% atau 560,359 pelajar menuntut di universiti awam manakala 46.4% atau 484,963 pelajar di universiti dan kolej universiti swasta pada tahun 2013 seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 5-6. Dalam tempoh yang sama, enrolmen universiti awam meningkat 21% menjadikannya penyedia utama pendidikan tinggi dalam negara.
Selain ini, pencapaian akademik bagi mahasiswa ijazah pertama telah bertambah baik . Sebanyak 17.5% daripada siswazah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melebihi 3.49 pada tahun 2013 berbanding dengan 13.6% pada tahun 2010 seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 5-7. Jumlah pelajar yang mencapai PNGK melebihi 3.49 pada tahun 2013 meningkat sebanyak 31.7% berbanding dengan tahun 2010. Pada tahun 2013, sebanyak 75.5% graduan universiti awam dan 73.2% graduan universiti swasta telah mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran atau menunggu penempatan pekerjaan, seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 5-8.
Jumlah staf akademik di universiti awam telah meningkat dari 26,700 pada tahun 2010 kepada 33,137 pada tahun 2013. Jumlah staf akademik berkelulusan PhD di universiti awam meningkat sebanyak 31.6% dari tahun 2010 kepada tahun 2013, seperti yang ditunjukkan dalam Paparan 5-9. Purata staf akademik berkelulusan PhD di universiti awam meningkat daripada 30% pada tahun 2010 kepada 36.5% pada tahun 2013. Pada tahun 2013, empat daripada lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia