1.0 TUJUAN

Dasar Pembangunan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah bertujuan untuk menggalakkan dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT tempatan dalam usaha untuk:

  1. Melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan; dan
  2. Melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian status negara maju menjelang 2020.

2.0 LATAR BELAKANG

Aktiviti keusahawanan telah lama diakui sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di samping bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara.

  1. Dalam konteks negara Malaysia, aspek pembangunan keusahawanan, terutamanya di kalangan masyarakat Bumiputera telah diberikan perhatian yang serius bermula dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Melalui dasar ini pembangunan keusahawanan di kalangan masyarakat bumiputera telah dijadikan sebagai agenda penting negara dalam usaha untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), yang telah dikenal pasti sebagai pendekatan utama untuk menyusun semula masyarakat dan dalam memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara.
  2. Pembangunan Keusahawanan khasnya usahawan Bumiputera adalah tertumpu kepada empat kumpulan sasaran iaitu golongan pelajar, siswa/siswazah IPT, serta golongan belia dan wanita. Dalam konteks kumpulan sasar ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berperanan untuk menerajui pembangunan keusahawanan di kalangan siswa/siswazah IPT. 

3.0 STATUS SEMASA

Secara umumnya usaha dan inisiatif untuk menerapkan nila-nilai dan kemahiran keusahawanan di kalangan pelajat IPT boleh dibahagikan kepada (3) komponen utama iaitu komponen kesedaran (awareness), pembudayaan dan pengukuhan.

  1. Komponen Kesedaran Keusahawanan
  2. Komponen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar IPT tentang kepentingan keusahawanan dan menerap nila-nilai keusahawanan bermula pada tahap awal pelajar berada di IPT. Sebagai langkah permulaan, Modul Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) telah diperkenalkan pada tahun 2007 sebagai satu kursus wajib dua (2) kredit bagi pelajar Tahun 1 di semua IPT. Objektif utama modul ini adalah untuk menerap nila-nilai dan ciri-ciri keusahawanan di kalangan pelajar IPT.
  3. Komponen Pembudayaan Keusahawanan
    Komponen ini bertujuan untuk membudayakan seramai mungkin pelajar IPT bagi melahirkan minat terhadap keusahawan. KPT telah mengenal pasti keusahawanan sebagai salah satu teras utama kursus kokurikulum berkredit pada tahun 2009 sebagai salah satu mekanisme pembudayaan keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran insaniah pelajar.
  4. Komponen Pengukuhan Keusahawanan
    Komponen ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia sebenar perniagaan di samping membantu mereka yang benar-benar berminat untuk menceburi bidang perniagaan sebagai kerjaya.

Dalam perkara ini, IPT mempunyai program dan aktiviti keusahawanan masing-masing yang dibangunkan oleh pihak IPT itu sendiri ataupun dengan kerjasama agensi dan organisasi kerajaan dan swasta mahupun pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO).

4.0 ISU DAN CABARAN

Dalam melaksanakan program keusahawanan di IPT, beberapa isu dan cabaran yang timbul adalah seperti berikut:

  1. Wujudnya Kekeliruan Pemahaman Mengenai Pendidikan Keusahawanan
  2. Perbezaan Ideologi Mengenai Keusahawanan di Peringkat Pengajian Tinggi
  3. Kurangnya Persetujuan Mengenai Pengertian Keusahawanan dan Usahawan
  4. Kurangnya Keberkesanan Pendidikan dan Program Keusahawanan IPT
  5. Kompetensi Tenaga Pengajar Keusahawanan
    Kekurangan Sumber
  6. Kurangnya Kolaborasi di antara Akademia dan Usahawan/Industri
    Tiadanya Pusat Data Keusahawanan
  7. Mekanisme Pengukuran Kualiti, Keberkesanan dan Impak
  8. Kurangnya Sokongan Ibu Bapa
    Pembudayaan Keusahawanan memerlukan Masa, Komitmen dan Kesabaran

5.0 RASIONAL

  1. Seiring dengan matlamat Kerajaaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, inovatif dan kreatif bagi memacu transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan seterusnya mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, pendidikan dan program serta aktiviti pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar IPT perlu diperkukuhkan secara holistik. Malah tidak dapat dinafikan bahawa setiap elemen kemahiran insaniah ataupun soft-skills seseorang individu seperti kemahiran berkomunikasi, berdaya saing dan berdaya tahan serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi adalah merupakan subset kepada nilai-nilai yang terdapat di dalam diri seorang usahawan.
  2. 5.2    Di samping keperluan untuk melahirkan entrepreneurial graduates ataupun graduan yang mempunyai pemikiran, atribiut dan nilai keusahawanan, usaha yang lebih terancang dan bersepadu perlu diambil oleh IPT dalam menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan infrastruktur serta persekitaran yang kondusif kepada golongan pelajar yang benar-benar mempunyai minat dan keinginan untuk menjadi seorang usahawan.
  3. Bagi sesebuah IPT untuk berjaya melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan serta melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah ataupun graduate entrepreneurs, ianya perlulah disokong oleh tenaga pengajar yang juga mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan. Dalam perkara ini, penerapan nilai dan budaya keusahawanan perlu juga dilaksanakan kepada tenaga pengajar/pegawai/penyelaras keusahawanan IPT.

6.0 POLISI DAN STRATEGI

Bagi meningkatkan dan menggalakkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang, holistik dan berimpak tinggi dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, artibut dan nilai keusahawanan serta melahirkan usahawan siswazah, enam (6) teras strategik Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT telah ditetapkan.

    1. Menubuhkan Pusat Keusahawanan di setiap IPT
    2. Menyediakan Pendidikan dan Program Keusahawanan yang Terancang dan Holistik
    3. Memantapkan Program Pembangunan dan Pengukuhan Keusahawanan
    4. Mewujudkan Mekanisme Pengukuran yang Berkesan
    5. Menyediakan Persekitaran dan Ekosistem yang Kondusif bagi Pembangunan Keusahawanan
    6. Mengukuhkan Kompetensi Tenaga Pengajar Keusahawanan
    7.  

7.0 PENUTUP

Pendidikan dan pembangunan keusahawanan IPT yang holistik amat signifikan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan. Usaha-usaha ini juga adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin dan penggerak kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksian inovasi ke arah pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020. Namun begitu, untuk mencapai objektif ini, perhatian dan usaha yang bersepadu perlu diambil agar prestasi akademik pelajar tidak akan terjejas.