Pengenalan Anugerah Akademik Negara (AAN)
Kesarjanaan ahli akademik dalam pelbagai bidang di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara ini telah pun diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara pengiktirafan peringkat kebangsaan ialah Anugerah Merdeka, Anugerah Sastera Negara, Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Sukan Negara, Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Saintis Negara, Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Langkawi, Anugerah Harta Intelek Negara, Anugerah Seniman Negara, dan Anugerah Yayasan Toray Malaysia bagi Sains dan Teknologi. Sementara di peringkat antarabangsa pula termasuklah ISESCO Literacy Prize, Al-Khawarizmi Award, Carlos J. Finlay Prize for Microbiology (UNESCO), Young Scientist Award (UNESCO), King Faisal Award, World Intellectual Property Organization (WIPO) Awards, Pameran Inovasi dan Teknologi Antarabangsa, Wharton-QS Stars Award - Reimaging Education dan The World’s Most Influential Scientific Minds.
Para sarjana Malaysia telah mengharumkan nama negara melalui pelbagai pencapaian yang cemerlang dalam penyelidikan dan penerbitan yang berimpak tinggi, penghasilan karya asli yang bermutu, karya seni dan kreativiti terbaik, pengkomersialan produk penyelidikan dan pengajaran yang cemerlang. Justeru, mulai tahun 2006 Kementerian telah memperkenalkan sebuah anugerah tertinggi kesarjanaan yang dikenali sebagai Anugerah Akademik Negara (AAN) yang mengiktiraf secara menyeluruh kejayaan para sarjana Malaysia.
AAN adalah wadah bagi mengiktiraf dan menyanjung ahli akademik negara yang telah mengharumkan nama Malaysia dalam pelbagai bidang ilmu. Sehubungan itu, pemberian anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi khusus untuk para sarjana Malaysia yang sedang atau pernah berkhidmat di IPT Malaysia berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang berikut :
- Pengajaran
- Penemuan ilmu
- Penulisan dan penerbitan ilmiah dan kreatif
- Pemindahan dan pengembangan ilmu
- Hits: 3822