Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim dilahirkan pada tahun 1944 di Arau, Perlis. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Stellar Maris School, Kangar dan pendidikan menengah di Saint Xavier School, Pulau Pinang dan seterusnya di Maktab Tentera DiRaja (Cadet Wing), Sungai Besi. Pada tahun 1962, beliau telah melanjutkan pengajian di University of Punjab, Lahore, Pakistan dalam bidang sains veterinari dan memperolehi Bachelor of Veterinary Science pada tahun 1967.
Profesor Onn bin Haji Hashim dikenali kerana kajian beliau tentang laktin biji cempedak yang digunakan sebagai agen untuk mengesan glikoprotein yang spesifik dan mengkaji penyakit seperti nefropati dan kanser. Aktiviti penyelidikan beliau telah memenangi pelbagai anugerah termasuklah anugerah berprestij Fullbright, Biasiswa Felo Japanese Society for the Promotion of Science (JSPS) dan pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Antarabangsa ke-33 di Geneva.
Profesor Dr. Nordin bin Hussin memperoleh ijazah pertama dari Universiti Malaya (UM) dan meneruskan pengajian peringkat siswazah di England. Beliau telah mempelajari bahasa Belanda dan mendapat pendedahan yang meluas terhadap bahan dan ilmu sejarah Alam Melayu, terutamanya di Amsterdam dan Leiden. Justeru, disamping Bahasa Melayu dan Inggeris, beliau turut mahir menggunakan sumber-sumber arkib dalam bahasa Belanda, khususnya mengenai sejarah sosio-ekonomi bandar-bandar pelabuhan sekitar Selat Melaka di zaman penjajahan.
Profesor Madya Dr. Syed Omar bin Syed Rastan dilahirkan pada 28 Disember 1960, di Jelutong, Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Gurney Satu pada tahun 1967 dan Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur pada tahun 1973. Beliau meneruskan pengajiannya di UPM pada tahun 1978 dan dianugerahkan Sc. dalam bidang Pertanian pada tahun 1983. Pada tahun 1984, beliau telah menerima tawaran menjadi tutor UPM, seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan di USA. Beliau telah dianugerahkan Ijazah Sarjana di University of Georgia pada tahun 1987 dan Ph.D di University of Missouri pada tahun 1995.
Profesor Madya Dr. Zulkifli Bin Yusof dilahirkan pada tahun 1962. Beliau telah berkecimpung di dalam bidang akademik selama 15 tahun, iaitu 4 tahun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan selebihnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).