Anugerah Penerbitan Buku
Profesor Madya Dr. Jelani bin Harun
Profesor Madya Dr. Jelani bin Harun dilahirkan pada 20 Oktober 1962 di Perak. Beliau memperolehi ijazah pertama dari USM dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti London pada tahun 1999 dengan pengkhususan dalam bidang Sastera Melayu Klasik.
Profesor Madya Dr. Jelani bin Harun telah menerbitkan beberapa buah buku di bawah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan USM Press. Beliau juga telah menerima berbagai anugerah berprestij termasuklah anugerah MAPIM 2008 bagi Kategori Buku Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Karya Ilmiah Dewan Bahasa dan Pustaka, Anugerah Sastera Mastera dan Anugerah Sanggar Sanjung.
Ulasan Buku
Buku ini ialah sebuah karya ilmiah hasil penyelidikan dalam bidang kesusasteraan undang-undang Kesultanan Melayu di seluruh Nusantara. Matlamatnya ialah untuk memperlihatkan bahawa alam Melayu mempunyai rantaian undang-undang yang diguna pakai secara tersendiri dan juga secara bergandingan antara satu sama lain. Setiap wacana yang dibentangkan disokong oleh bahan bukti sama ada dari sumber asalnya, termasuk manuskrip yang tersimpan di London dan Leiden ataupun sumber sekunder. Kesemua sumber ini disenaraikan secukupnya dalam nota kaki dan disenaraikan juga dalam bahagian rujukan atau bibliografi.
Buku ini menampilkan naratif rintis berkaitan undang-undang yang tertulis dalam sistem pemerintahan Kerajaan dan Kesultanan Melayu zaman pra-kolonial. Beliau memulakan satu kaedah perbandingan dalam bidang penyelidikan undang-undang pribumi Nusantara dalam abad ke-15 hingga ke-19. Ianya dapat menyemarakkan minat para penyelidik lain untuk meneliti aspek falsafah dan semangat perundangan dalam masyarakat Melayu Nusantara pra-kolonial.
Buku Undang-Undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan ini telah berjaya memperkenalkan 22 topik perundangan, dari Melaka ke Indragiri. Aspek-aspek khusus yang ditangani termasuklah konsep undang-undang rimba yang seringkali dikaitkan dengan undang-undang pra-moden; induk perundangan Melayu, prinsip perundangan terhadap pihak yang menderhaka; peraturan Perhubungan antara kerajaan; prinsip pemilikan tanah dan dusun; prinsip mengadili perbalahan umum; undang-undang kelautan, undang-undang percukaian, undang-undang berburu, laga lembu dan laga ikan, sumbang mahram; kawalan beras, hukuman terhadap pencuri dan sebagainya; prinsip yang diguna pakai dalam menghakimkan perubatan kahwin lari, pampasan terhadap mangsa jenayah, hukuman terhadap penzina, peraturan kesaksian dan pembuktian, perkembangan perundangan Islam dan hukuman terhadap pemurtad; dan tentang prinsip keadilan yang wujud di bawah sistem perundangan Kesultanan Melayu.
Secara keseluruhannya, buku ini memperkenalkan kepelbagaian falsafah dan prinsip yang mendasari setiap satu undang-undang. Pembaca akan mendapat kesan bahawa hipotesis yang menyatakan undang-undang pra-moden itu penuh dengan falsafah rimba yang kasar dan zalim dibuktikan tidak begitu tepat. Buku ini telah tersenarai dalam perolehan perpustakaan terkemuka dunia (Library of Congress, Cornell University, VTLS Library Catalog) dan dalam WorldCat. Ianya dapat memberi impak besar dari segi kemungkinannya mengubah persepsi mengenai sistem perundangan Melayu Nusantara dalam zaman Kesultanannya dan dapat memberi inspirasi yang cukup bertenaga kepada para pengkaji selanjutnya untuk mendalami falsafah dan prinsip yang wujud, tersurat dan tersirat, dalam pemikiran perundangan Melayu Nusantara zaman pra-kolonial.
- Hits: 1130