Slider

Anugerah Penerbitan Buku

Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa

Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa

Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa merupakan seorang profesor dalam bidang pendidikan matematik di Fakulti Pendidikan, UM. Beliau adalah Presiden Pengasas Persatuan Pendidikan Matematik Malaysia.

Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa memperoleh ijazah Sarjana Muda (BSc) dan Sarjana (MSc) dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat dan ijazah Doktor Pendidikan (EdD) dari University of Georgia, Amerika Syarikat dalam bidang pendidikan matematik. Tesis kedoktoran beliau berjudul Children's Fractional Schemes bertumpu kepada pengenal pastian pengetahuan pecahan yang dimiliki oleh murid sekolah rendah. Sebahagian idea ini dihuraikan melalui dua (2) buku beliau, iaitu Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM: Agenda Tindakan (1992) dan Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM: Perkembangan Profesional (1996) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Satu isu dalam pendidikan matematik yang menjadi semakin mencabar bermula pada tahun 1990-an ialah cara untuk mengembangkan potensi pintar cerdas murid ke tahap yang optimum, khususnya dalam pendidikan matematik. Dalam hal ini, Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa telah menghasilkan sebuah buku, Program Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas: Teori dan Praktik (1990) terbitan lnstitut Ilmu-Ilmu Islam yang membincangkan isu tersebut secara mendalam. Seterusnya, pada tahun 1993, beliau dianugerahkan Fulbright Award untuk membuat penyelidikan pasca kedoktoran di College of Education, University of Georgia selama sembilan (9) bulan tentang cara untuk mentransformasikan pendidikan matematik bagi murid sekolah menengah. Dalam buku Potensi lntelek (1999) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau menghuraikan hasil penyelidikan tersebut bagi mengembangkan potensi pintar cerdas berlandaskan dua (2) teori berbeza, iaitu konstruktivisme radikal dan perspektif bersepadu sejagat.

Satu (1) lagi isu dalam pendidikan matematik yang semakin mendapat perhatian umum bermula pada tahun 1990-an ialah pembentukan wawasan pendidikan matematik. Dengan berlandaskan perspektif bersepadu sejagat, iaitu satu teori tentang proses mengetahui dan mengembangkan ilmu berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa menjelaskan cara untuk menghayati Wawasan 2020 dan membentuk wawasan bagi pendidikan matematik dalam bukunya Wawasan Pembangunan Negara (1994) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagi usaha yang gigih itu, beliau dianugerahkan Malaysian Linguistic Award.

Pada tahun 1990-an juga, pendidikan matematik di kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia mula dipengaruhi oleh satu pendekatan psikologi yang disebut sebagai konstruktivisme radikal. Dalam buku, Konstruktivisme Radikal dalam Pendidikan Matematik (1999) terbitan Penerbit UM, Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa menghuraikan cara untuk memanfaatkan gagasan psikologi tersebut bagi mentransformasikan pendidikan matematik di negara kita. Bagi usaha yang inovatif ini, beliau mendapat tiga (3) anugerah, iaitu Anugerah Buku PERSAMA 2000 anjuran Persatuan Sains Matematik Malaysia, Anugerah Penerbitan Ilmiah 2000 anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia dan Fuji Xerox, dan Anugerah Citra Pendeta 2000 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fenomena pendidikan matematik di Malaysia pada abad ke-21 memerlukan penelitian isu-isu kritikal dalam pendidikan tersebut secara mendalam, menyeluruh, dan bersepadu bagi tujuan membangunkan pendidikan matematik yang cemerlang. Justeru, Profesor Dr. Nik Azis bin Nik Pa telah menghasilkan buku, Isu-isu Kritikal dalam Pendidikan Matematik (2008) terbitan Penerbit Universiti Malaya, yang mana beliau membincangkan lapan (8) cabaran utama yang perlu diatasi jikalau kita ingin meningkatkan kualiti pendidikan matematik ke tahap yang lebih tinggi. Bagi usaha yang penting ini, beliau mendapat dua (2) anugerah, iaitu Anugerah Cemerlang Universiti Malaya 2009 dan Anugerah Buku PERSAMA 2009.

  • Hits: 1360
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi