Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Hj. Omar bin Abdul Rahman merupakan pakar Veterinar Malaysia pertama mendapat Ph.D dari University of Cambridge, UK, profesor pertama dilantik di UPM serta dekan pertama bagi Fakulti Perubatan Veterinar dan Sains Haiwan UPM. Kecemerlangannya merancang pembangunan program pengajaran dan penyelidikan serta membina jaringan dengan kolej veterinar yang terkemuka di luar negara berjaya mempertingkatkan reputasi UPM di mata dunia. Kepimpinan beliau diiktiraf dengan pelantikannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik) UPM pada tahun 1982.
Profesor Madya Dr. Mohamad Pauzi bin Zakaria dikenali kerana kajian beliau dalam bidang Forensik Alam Sekitar untuk mengenal pasti punca pencemaran alam sekitar. Aktiviti penyelidikan beliau telah memenangi pelbagai anugerah berprestij di peringkat Universiti, kebangsaan dan antarabangsa.
Profesor Datin Paduka Dr. Aini lderis dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dari UPM (1979), Master Sains Veterinar (MVSc) dalam bidang Perubatan Avian, Universiti Liverpool, England (1981) dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari UPM (1989), dalam bidang yang sama. Beliau seterusnya menjalani latihan Pasca Kedoktoran di Universiti California, Davis, USA (1990-1992) dan di Universiti Cornell, USA (1993). Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah dan kini sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia. Beliau juga adalah Felo Akademi Sains Malaysia (FASc).
Encik Junaidi bin Awang merupakan pensyarah di Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Kampus Machang, Kelantan. Beliau banyak menjalankan penyelidikan dan penghasilan produk rekaan batik. Bidang kepakaran beliau adalah reka corak batik dan tekstil. Minat dan bakat beliau dalam bidang seni reka tekstil amat mendalam dan menyerlah kerana beliau mula didedahkan dalam seni batik sejak usia remaja memandangkan ahli keluarga beliau terlibat secara langsung dalam perusahaan batik di Kelantan.
Keupayaan menggabungkan aspek-aspek akademik, penyelidikan dan pengalaman sebagai jurutera mekanikal profesional telah membantu Profesor Madya Ir. Hayati binti Abdullah membangunkan program pengajaran yang menekankan pencapaian hasil pembelajaran berdasarkan Outcome Based Education. Dengan mengamalkan kaedah pengajaran yang berpaksikan penglibatan pelajar dikaitrapatkan dengan penglibatan dari industri dan dunia luar, Profesor Madya Ir. Hayati binti Abdullah menghasilkan 'kuliah tanpa sempadan' bagi pelajar-pelajar beliau. Pelajar didedahkan kepada ekosistem pembelajaran yang unik di mana prinsip kejuruteraan yang dipelajari dapat dilihat terus aplikasinya di industri melalui lawatan, kuliah di lokasi industri, kajian kes dan tugasan yang memerlukan mereka berfikir secara kritikal, berkomunikasi serta menganalisis data sebenar dari industri.
Prof. Dato' Dr. Mohamed Shariff bin Mohamed Din adalah seorang tokoh akademik yang terkenal dalam bidang pengajaran, penyelidikan serta perundingan. Kegigihan dan prestasi kerja beliau yang cemerlang telah mengharumkan nama UM di seluruh rantau Asia dan pelusuk dunia. Sebagai seorang perintis dalam bidang kesihatan ikan, beliau telah banyak menyumbang dalam pembangunan beberapa program kesihatan ikan di peringkat pra-siswazah dan juga siswazah semenjak tahun 1977. Usaha ini telah menjadikan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera (1977 hingga 1995) sebuah pusat kecemerlangan kesihatan ikan di rantau Asia yang ulung ketika itu.
Profesor Madya Dr. Jaafar bin Jantan atau lebih mesra dengan panggilan Dr. JJ dilahirkan pada 21 Jun 1961 di Kampung Musai, Melaka. Pendidikan awal yang diterima di St. David's High School, Sekolah Menengah Sains Air Keroh (MOZAC) dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban telah membantu beliau untuk meneruskan pengajian di Jabatan Fizik, Kansas State University, Manhattan Kansas (KSU), United States of America pada tahun 1980. Setelah menamatkan pengajian peringkat Sarjana pada Disember 1985, beliau menghabiskan tahun 1986 di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI) dan memperolehi Sijil Perguruan Lepasan ljazah.
Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar bin Sabran dilahirkan di Tanjung Piandang, Perak pada 7 Februari 1967. Mendapat Diploma dari Indiana University of Bloomington, Amerika Syarikat dan meneruskan pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda dan Master di Iowa State University serta ijazah Kedoktoran di University of Missouri. Beliau telah berkhidmat dengan UPM sebagai pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia lebih dari 13 tahun.
Dr. Lee Ai Choo memperoleh Ph.D dalam bidang Sains Rehabilitasi dari University of Alberta, Kanada pada 2007. Sebelum menjadi pensyarah di UPSI (2000), beliau pernah berkhidmat sebagai guru Pendidikan Jasmani. Beliau meneruskan pengajian di UPM pada 1997 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani serta dianugerahkan sebagai Graduan Terbaik dan Atlet Terbaik pada tahun 1999. Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pendidikan Jasmani dan Ph.D pada tahun 2007.