Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah binti Haji Omar dilahirkan pada 5 Mac 1940 di Jitra, Kedah. Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Lumpur dan Kedah sebelum melanjutkan pengajian ke Universitas Indonesia sehingga ke peringkat Sarjana dalam bidang bahasa dan sastera Indonesia. Seterusnya, melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang linguistik am di Universiti London.
Prof. Gurdial Singh Nijar dilahirkan pada 20 Ogos 1946. Memulakan kerjaya pensyarah di Fakulti Undang-Undang UM sejak April 2000. Beliau juga adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Undang-Undang Biodiversiti (CEBLAW), di mana ianya ditubuhkan di bawah satu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan UM pada November 2006. Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari King's College, London dan Sarjana Undang-Undang dari UM. Berkelayakan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Victoria dan Mahkamah Tinggi New South Wales.
Dr. Nik Haslinda binti Nik Hussain, anak kelahiran Kelantan Darul Naim berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang sejarah dari Universitas Udayana, Bali, Indonesia dan Ijazah Sarjana Sosioekonomi (Pembangunan Tanah) dari USM. Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sejarah sosioekonomi (hak milik tanah) oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2006. Memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di USM pada tahun 2006. Bidang tumpuan utama beliau adalah sejarah sosioekonomi Malaysia dan Asia Tenggara, terutama bidang tanah dan pertanian.
Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo telah dikurniakan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) pada tahun 1985 dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Melanjutkan pengajian di University of Liverpool, England (1987) dan seterusnya memperoleh Ph.D dalam bidang patologi veterinar pada tahun 1990. Pada tahun 1993 telah mengikuti program Pasca Doktorial dalam bidang patologi avian di University of Georgia, Athens, USA. Beliau telah dilantik sebagai Profesor dalam bidang patologi veterinar / avian di UPM pada tahun 2007.
Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen dilahirkan pada 22 Januari 1965 di Pulau Pinang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian (Kewartawanan dan filem), 1989 dan Sarjana Muda Sastera (Inggeris dan Komunikasi), 1988 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) (Pengarahan Filem), 1998 dari Sheffield Hallam University, UK. Memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak 2 Januari 1991 dan telah hampir dua puluh dua (22) tahun menabur bakti di universiti tersebut.
Prof. Dr. Mohd Adzir bin Mahdi dilahirkan pada 4 Jun 1972. Memulakan kerjaya sebagai penyelidik di Malaysia dan seterusnya Amerika Syarikat. Berbekalkan pengalaman tersebut, beliau ditawarkan jawatan Profesor Madya di UPM pada tahun 2003. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan UPM selama tiga (3) tahun bermula dari tahun 2006.