Slider

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk

Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo

Profesor Dr. Mohd Hair bin Bejo

Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo telah dikurniakan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) pada tahun 1985 dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Melanjutkan pengajian di University of Liverpool, England (1987) dan seterusnya memperoleh Ph.D dalam bidang patologi veterinar pada tahun 1990. Pada tahun 1993 telah mengikuti program Pasca Doktorial dalam bidang patologi avian di University of Georgia, Athens, USA. Beliau telah dilantik sebagai Profesor dalam bidang patologi veterinar / avian di UPM pada tahun 2007.

Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo amat komited dan aktif dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan professional. Beliau kerap dilantik sebagai pemeriksa tesis Sarjana dan Doktor Falsafah serta penilai projek penyelidikan. Beliau juga menjadi ketua kepada dua belas (12) projek penyelidikan, dua puluh (20) sebagai ahli dan terlibat secara aktif dalam sepuluh (10) projek lagi bersama pihak industri.

Pada September 2005, Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo telah berjaya mengkomersialkan produk beliau MyVAC UPM93 IBD Vaksin. Vaksin ini telah dipasarkan dan memenangi dua (2) anugerah, iaitu Anugerah Penyelidikan Cemerlang UPM 2005 dan Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2008. Lima (5) produknya yang lain, iaitu kit ELISA (3) dan Vaksin (2) kini dalam proses perbincangan dengan rakan kongsi dari industri untuk pengkomersialan. Beliau juga baru selesai menyempurnakan satu (1) projek penyelidikan TechnoFund berjumlah RM2 juta untuk pembangunan dan pengkomersialan produk baharunya iaitu Novel BCA Products.

Ulasan Produk:

Penyakit bursa berjangkit (IBD) atau Gomboro adalah salah satu penyakit virus utama di dunia yang mengancam ternakan ayam. IBD disebabkan oleh virus IBD (IBDV) amat virulen (vvIBDV) dan boleh menyebabkan kematian yang tinggi sehingga 60-100% ke atas ayam secara akut. Ayam yang dijangkiti vvIBDV akan kehilangan daya tahan dan terdedah kepada jangkitan agen patogenik lain yang boleh menyebabkan kematian atau tumbesaran terbantut.

Benih virus MyVAC UPM93 IBD Vaksin amat novel dan unik dengan mempunyai sifat molekul gene yang terdekat dengan vvIBDV, iaitu agen penyebab wabak IBD masa kini. Benih virus yang terpilih telah berjaya diasing, diadaptasi, diatenuasi dan dibiakkan dengan menggunakan telur ayam bebas pathogen khusus (SPF) dan kultur tisu. MyVAC UPM93 IBD Vaksin telah lulus kesemua ujian makmal yang diperlukan bagi tujuan pendaftaran dossier seperti ujian keselamatan, ketulinan, imunogenik, kembali virulen dan bebas dari kotaminasi. Hasilnya telah membuktikan bahawa MyVAC UPM93 IBD Vaksin adalah selamat, berkesan dan berupaya merangsang penghasilan antibodi IBD yang tinggi walaupun dalam keadaan anak ayam mempunyai paras antibodi dari induk yang berbeza dan berjaya memberi perlindungan ke atas ternakan ayam dari cabaran jangkitan vvIBDV. Vaksin ini tidak memberi kesan sampingan seperti kehilangan daya tahan, perubahan berat badan, pemakanan dan prestasi tumbesaran ayam. Malahan vaksin ini juga dapat mengelakkan penggunaan antibodik dan mengurangkan kos produksi ayam serta dapat menghasilkan ternakan berkualiti dan selamat untuk dimakan. Vaksin ini telah diguna dan dipasarkan di Malaysia serta Myanmar. Pendaftaran dossier vaksin telah dimajukan untuk pendaftaran di Indonesia dan Vietnam. MyVAC UPM93 IBD Vaksin adalah merupakan satu inovasi dalam industri ternakan ayam bagi menjamin kecukupan dan keselamatan makan negara.

  • Hits: 1001
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi