Slider

Anugerah Penerbitan Buku

Dr. Nik Haslinda binti Nik Hussain

Dr. Nik Haslinda binti Nik Hussain

Dr. Nik Haslinda binti Nik Hussain, anak kelahiran Kelantan Darul Naim berkelulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang sejarah dari Universitas Udayana, Bali, Indonesia dan Ijazah Sarjana Sosioekonomi (Pembangunan Tanah) dari USM. Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sejarah sosioekonomi (hak milik tanah) oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2006. Memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di USM pada tahun 2006. Bidang tumpuan utama beliau adalah sejarah sosioekonomi Malaysia dan Asia Tenggara, terutama bidang tanah dan pertanian.

Dr. Nik Haslinda binti Nik Hussain banyak menulis tentang perkembangan pemilikan tanah di Malaysia, perkembangan pemilikan tanah orang asli, kajian tanah pusaka, tanah wakaf dan kajian warisan alam dan budaya di wilayah-wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu dari aspek persempadanan dan transformasi sosioekonomi. Selain daripada menulis pelbagai makalah dalam jurnal-jurnal, beliau juga aktif dalam menghasilkan karya-karya ilmiah.

Buku beliau, Pentadbiran Kolonial Dan Isu Pemilikan Tanah Di Kelantan 1881-1941 telah memenangi Anugerah MAPIM 2011 bagi Kategori Buku Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial. Buku ini telah diulas dalam Dewan Budaya, Julai 2012 oleh seorang sejarawan Malaysia. Buku ini tersebar luas dan tersenarai di perpustakaan luar negara, termasuk British Library.

Ulasan Buku:

Buku ini memberi tumpuan kepada tanah dan pertanian di negeri Kelantan antara tahun 1881 hingga 1941 dengan mengupas berkenaan pentadbiran tanah dan sistem hak milik, dan diikuti dengan penelitian dalam aspek pendaftaran dan pengukuran tanah, kutipan cukai, usaha tanah dan aktiviti-aktiviti pertanian pada masa itu.

Tujuan utama buku ini adalah untuk memberi pendedahan bahawa sebelum pentadbiran British pada tahun 1910, negeri Kelantan sudah mempunyai sistem pendaftaran hak milik tanah yang diperkenalkan pada tahun 1881. Tindakan British semasa mentadbir negeri Kelantan hanyalah memperkemaskan pentadbiran tanah untuk menjadikannya lebih efisien. Dalam tempoh tersebut, masyarakat negeri Kelantan bukan sahaja didedahkan dengan peraturan-peraturan tanah, enakmen dan sistem perundangan British, malah kehadiran kolonial British juga telah membawa perubahan kepada aktiviti pertanian sara diri kepada produksi komersial yang berasaskan getah. Penguatkuasaan peraturan tanah baru di bawah pentadbiran kolonial British telah membawa kepada penentangan rakyat. Rakyat Kelantan menentang undang-undang dan peraturan tanah baru yang diperkenalkan British bagi mempertahankan hak warisan mereka yang dilihat semakin terhakis. Walau bagaimanapun, undang-undang dan peraturan tanah baru tetap diteruskan, meskipun bantahan untuk mengubahnya dilakukan.

  • Hits: 1545
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi