Slider

Anugerah Seni dan Kreativiti

Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen

Profesor Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen

Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen dilahirkan pada 22 Januari 1965 di Pulau Pinang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian (Kewartawanan dan filem), 1989 dan Sarjana Muda Sastera (Inggeris dan Komunikasi), 1988 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) (Pengarahan Filem), 1998 dari Sheffield Hallam University, UK. Memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak 2 Januari 1991 dan telah hampir dua puluh dua (22) tahun menabur bakti di universiti tersebut.

Bermula sebagai pensyarah Kewartawanan di Fakulti Sebaran Am, Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen kemudian di tawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana dalam bidang Pengarahan Filem. Sekembalinya dari UK, pada 1998, beliau bersama tiga (3) pensyarah lagi menubuhkan Fakulti Seni Persembahan, yang kini dikenali sebagai Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA). Sebagai perintis kepada penubuhan fakulti kini beliau adalah Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM sejak tahun 2011 dan mengendalikan jumlah pelajar seni yang terbesar di Malaysia sehingga menjangkau seramai 1,500 pelajar dan lebih tujuh puluh (70) tenaga pengajar bidang filem, teater dan animasi.

Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen telah mengarahkan sebanyak tiga puluh empat (34) buah filem sejak 1996, antaranya Gemerlapan (1996), Anak Mami The Movie (2001), Mami Jarum (2002), Cinta Kolestrol (2003), I Know What You Did Last Raya (2004), Lady Boss (2005), Duyung (2008), Raya Tak Jadi (2011), Bujang Terlajak (2011) dan Ngorat (2012). Selain itu, beliau turut aktif mengarah drama TV, antaranya adalah Anak Mami, PHD, Menantu Mami, Realiti, 3 Suku Juta, Siapa Boss, Cucu Mami, Mat Belit, 99.9 FM, Fakulti dan Eniqma.

Filem-filem arahan Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen telah menerima pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Khas bagi Filem Box Office di Festival Filem Malaysia Ke-16, 17 dan 18 untuk filem Mami Jarum (2003), Cinta Kolestrol (2004) dan Bujang Senang (2005). Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Khas Juri atas peranan dalam memaparkan budaya setempat melalui filem di Festival Filem Malaysia Ke-20 pada tahun 2007. Filem Duyung arahan beliau telah menerima Anugerah Khas di Festival Filem Malaysia Ke-21 pada tahun 2008. Beliau turut menerima Anugerah Kehormat Perfileman MEATECH 2011 dan Anugerah Seni UiTM pada Januari 2012 lalu. Beliau juga mendapat pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records pada 21 Mei 2012 sebagai ahli akademik yang paling banyak mengarahkan filem cereka di Malaysia.

Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen adalah seorang ahli akademik perintis dalam pengkaryaan filem Melayu. Hasil karya yang diketengahkan sering mencabar status quo salah satu segmen masyarakat di bahagian utara Malaysia. Filem dan drama arahan beliau berjaya menepati selera masyarakat dan menerapkan humor tempatan dan memberi kesan yang spontan kepada penonton. Beliau turut berjaya merakam keunikan dan keindahan budaya setempat dalam setiap karya yang dipertontonkan. Beliau memainkan peranan besar dalam mentransformasi unsur tradisional ke dalam konteks terkini iaitu dalam perfileman.

Prof. Madya Abdul Razak bin Haji Mohaideen turut memainkan peranan dalam memulihara dan memelihara seni boria dan bangsawan ke satu tahap pengajian ilmu pementasan yang sejajar dengan selera terkini. Selain itu, beliau merupakan pensyarah yang berjaya menggunakan teknologi perfileman dalam pengajaran dan pembelajaran. Beliau telah menunjukkan komitmen yang konsisten dalam menerapkan ilmu perfileman sepanjang 15 tahun (1997 - 2012) dan berjaya menghasilkan sebanyak tiga puluh empat (34) buah filem sebagai seorang pensyarah.

  • Hits: 1162
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi