Prof. Emeritus Dato' Dr. Abdul Latif bin Ibrahim merupakan pemegang Ijazah dalam bidang perubatan veterinar dari Bangladesh Agricultural University, Bangladesh dan Ijazah Sarjana dalam bidang mikrobiologi dari University of Hawaii, Hawaii. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang mikrobiologi dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of California, USA pada tahun 1976 dan memulakan kerjaya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1973 hingga 2002 sebelum berkhidmat di UNISEL pada tahun 2003.
Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim merupakan lulusan Universiti Malaya yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 dan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1965. Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pengajian di Ohio University, USA dan memperoleh Ijazah Kedoktoran Linguistik Transformasi Generatif.
Dr. Ng EngPoh memperoleh Ijazah dalam bidang kimia industri dan Sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2004 dan 2006. Beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti Mullhouse, Perancis dalam bidang kimia bahan dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2009. Kini, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM). Penyelidikan Dr. Ng EngPoh adalah mengenai kajian mikroskopik pertumbuhan hablur zeolit dan penggunaannya dalam pemangkinan, penulenan dan kajian toksikologi bio-sel.
Dr. Siti Nurazira binti Mohd Daud merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Ekonomi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Beliau berjaya menamatkan pengajian PhD pada tahun 2009 di University of Southampton, United Kingdom dalam bidang yang sama.
Prof. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau melanjutkan pengajian di University of Strathclyde, UK di bawah tajaan Association of Commonwealth Universities Scholarship dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Chemical and Process Engineering. Beliau juga dikenali melalui sumbangannya sebagai ahli akademik dan saintis teknologi membran serta merupakan Ketua Advanced Membrane Technology Research Center (AMTEC), UTM.
Prof. Dr. Muliyadi bin Mahamood merupakan pemegang Diploma in Art and Design (Fine Art) dari Institut Teknologi Mara (ITM) pada tahun 1984. Pada tahun 1986, beliau telah memperoleh Ijazah History of Art dari University of Illinois, USA dan melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di Ohio University, USA. Beliau memperoleh Diploma Penterjemahan daripada Persatuan Penterjemah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991 sebelum memperoleh Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang pengajian kartun (cartoon studies) dari University of Kent, England pada tahun 1997.
Dr. Joanne Yeoh Pei Sze memperoleh Ijazah dalam bidang muzik dalam pengkhususan muzik biola dan piano dari University of Middlesex, United Kingdom pada tahun 1998 dan melanjutkan pengajiannya di University of Leeds dengan tajaan Luther and Ernest Gaunt Scholarship for Strings pada tahun 2005. Semasa pengajiannya beliau menerima Foreign and Commonwealth Office Scholarship untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang persembahan muzik. Pada tahun 2009, beliau berjaya memperoleh PhD dari Heriot Watt University, United Kingdom dengan pengkhususan dalam bidang muzik dan perlakuan manusia (consumer behavior).
Encik Junaidi bin Awang adalah pensyarah di Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, Kampus Machang, Kelantan dan mengajar pengkhususan batik dan penghasilan reka corak tekstil. Kepakaran beliau dalam kedua-dua bidang ini telah diterjemahkan dengan penghasilan beberapa hasil karya kreatif serta penglibatan beliau dalam pertandingan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa. Karya batik yang berkonsepkan moden kontemporari dengan mengeksperimentasi pelbagai bahan warna dan kesan jalinan bagi memperlihatkan kesan visual yang kreatif dan eksklusif yang dihasilkan oleh Encik Junaidi bin Awang mengikut kesesuaian dan citarasa global masa kini.