Slider

Tokoh Akademik Negara

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim

Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim merupakan lulusan Universiti Malaya yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 dan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1965. Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pengajian di Ohio University, USA dan memperoleh Ijazah Kedoktoran Linguistik Transformasi Generatif.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim bersara wajib pada tarikh 17 Disember 1994 dengan jawatan sebagai penyandang Kursi Pengajian Melayu dengan pengkhususan dalam bidang linguistik dan kini dilantik sebagai Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, UM.

Ketokohan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim terserlah sebagai ahli bahasa terutamanya dalam bidang tatabahasa Bahasa Melayu, sosiolinguistik dan pengajaran. Buku Tatabahasa Dewan yang telah ditulis bersama tiga (3) orang pengarang lain dan beliau sebagai ketua telah diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai buku pegangan bagi Bahasa Melayu. Beliau juga terkenal dalam dunia Melayu sebagai pakar rujuk bagi Bahasa Melayu dan telah dilantik oleh Kerajaan Brunei sebagai penulis buku teks bagi sekolah menengah dan dilantik oleh Republik Singapura sebagai perunding bagi penulisan buku teks peringkat sekolah rendah dan menengah. Beliau telah memperkenalkan slogan "Budi Bahasa Budaya Kita" yang menjadi ikutan generasi kini dalam memupuk nilai-nilai mumi serta semangat kemasyarakatan dalam diri masing-masing. Penulisan beliau dalam ruangan Berita Harian, "Yang Indah Itu Bahasa" berjaya dalam mengaplikasikan ilmu pengetahuan dengan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat serta tindakan terhadap persekitaran (public scholarship). Beliau juga merupakan seorang tokoh yang berpegang kepada aliran Generative Transformation dan berjaya dalam menyeimbangkan ilmu dengan keperluan masyarakat.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran UM, antaranya sebagai Ketua Jabatan, Timbalan Dekan, Dekan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu dan pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebagai seorang tenaga akademik, kepakaran beliau diperakukan dari segi menilai manuskrip untuk diterbitkan dan pernah dilantik sebagai penilai oleh Penerbit UM, DBP Kuala Lumpur, DBP Brunei Darussalam, Penerbit Oxford Fajar, Penerbit UKM, Penerbit UiTM, Penerbit USM, dan Times International.

Kemuncak pengiktirafan tertinggi kepada jasa dan sumbangan beliau, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim telah dianugerahi gelaran Profesor Emeritus dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh UM dan UKM. Kecemerlangan beliau dalam bidang bahasa mendapat pengiktirafan daripada DBP dan Persatuan Linguistik Malaysia melalui Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa (2001) dan Tokoh Pejuang Bahasa (2004). Beliau turut dianugerahi Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada tahun 1989, Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada tahun 1995, Johan Panglima Negara (J.P.N) pada tahun 1997, Tokoh Ilmuwan Bahasa (2001). Tokoh Pejuang Bahasa (2004) dan terkini Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1434 Hijrah pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara.

Kepimpinan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Abdul Karim juga terserlah sebagai pemimpin dalam pergerakan wanita dan memartabatkan wanita melalui penglibatan dalam penggubalan Dasar Wanita Negara dan merangka Dasar Wanita Islam Negara. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam beberapa pertubuhan wanita di peringkat kebangsaan, antaranya adalah menjadi Pengerusi selama dua penggal bagi Majlis Penasihat Wanita Negara, Naib Presiden Zon Tengah Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Penggal II, YADIM dan Naib Pengerusi Panel Isu-isu Wanita Islam (PISWI), JAKIM. Beliau juga merupakan Pengasas dan Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI).

Segala jasa dan khidmat bakti beliau mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah pada tahun 1995, Pingat Emas Tun Fatimah dan Tokoh Wanita Kelantan pada tahun 2001, Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah (Avon) pada tahun 1995, Anugerah Wanita Cemerlang TKC dan UM pada tahun 1997 kepada beliau. Usaha beliau yang berterusan dalam menggesa Kerajaan Malaysia untuk menangani isu wanita menjadi pencetus kepada penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita pada tahun 2001 yang merupakan sumbangan terbesar kepada negara.

  • Hits: 10297
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi