Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dilahirkan pada 31 Oktober 1935 di Rembau, Negeri Sembilan merupakan tokoh akademik yang terkenal dalam bidang agronomi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Chembong dan meneruskan pengajian di Government English School, Tampin. Beliau merupakan pemegang Diploma Pertanian daripada Kolej Pertanian Malaya, Serdang dan seterusnya melanjutkan pengajian di University of Reading, United Kingdom dalam bidang sains pertanian dan berjaya memperoleh Ijazah Kedoktoran Sains Pertanian daripada University of Leeds, United Kingdom.
Prof. Dr. Sheila Nathan dilahirkan pada 1 Mac 1963 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Biokimia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Beliau berjaya menamatkan pengajian PhD pada tahun 1993 di University of Sussex, United Kingdom dalam bidang DNA Repair.
Dr. Norhayati binti Ab. Rahman merupakan anak kelahiran negeri Kelantan Darul Naim dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya (UM) dalam bidang pengajian seni. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kesusasteraan melayu di Universiti Sains Malaysia (USM).
Prof. Dr. Azni bin Idris merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan kimia daripada University of Birmingham, United Kingdom pada tahun 1980. Beliau melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Environmental Pollution Control di University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1982 dan seterusnya memperoleh PhD dalam bidang Environmental Engineering pada tahun 1989. Beliau juga telah berkhidmat selama 30 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pensyarah, profesor kanan dan penyelidik aktif, dengan kejayaan memfail empat (4) paten. Beliau kini memegang jawatan sebagai Director of Waste Technolgy Centre, UPM dan menjalankan beberapa projek penyelidikan terutamanya yang melibatkan kerjasama antara Indah Water Konsortium Research, National Sewerage Company of Malaysia dan projek air kumbahan yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Prof. Dr. Hajah Rahinah binti Ibrahim dilahirkan pada 1 September 1965 di Bentong, Pahang. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Seni Bina) daripada University of Washington, Seattle, USA pada tahun 1987 dan Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama daripada Southern California Institute of Architecture, Santa Monica, USA pada tahun 1990. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Stanford University, Palo Alto, USA dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2005.
Encik Lim Chee Leong adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Malaya (UM) pada tahun 2001. Beliau dilahirkan pada 8 Julai 1976 dan mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam bidang akademik dan kini menjawat jawatan sebagai Ketua e-Learning Academy, Integrated Teaching and Lifelong Learning Center di Taylor's University.
Prof. Madya Dr. Raihanah binti Mohd Mydin dilahirkan pada 25 Jun 1970 dan merupakan anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang. Beliau mempunyai kelulusan B.Ed. TESL (Hons) daripada University of Exeter, United Kingdom pada tahun 1994 dan kemudiannya meneruskan pengajian dalam M.A (English Language Studies) pada tahun 1999 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dengan minat yang tinggi dalam bidang pengajaran, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaya (UM) dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2008.
Prof. Dr. Jayakaran Mukundan dilahirkan pada 28 April 1956 dan berkelulusan Bachelor of Education in TESL daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam pengajian Bahasa lnggeris di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004 dalam bidang Bahasa lnggeris.