Slider

Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains)

Penerima
Prof. Dr. Sheila Nathan
Institusi
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Profesor Dr. Sheila Nathan

Prof. Dr. Sheila Nathan dilahirkan pada 1 Mac 1963 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Biokimia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Beliau berjaya menamatkan pengajian PhD pada tahun 1993 di University of Sussex, United Kingdom dalam bidang DNA Repair.

Bidang penyelidikan Prof. Dr. Sheila Nathan tertumpu kepada kepatogenan Burkholderia pseudomallei, agen penyebab penyakit melioidosis di Malaysia dan negara-negara di kawasan Khatulistiwa. Selaku ketua projek dan penyelidik bersama, beliau terlibat dalam projek yang menggunakan teknologi terkini seperti genomik, biologi struktur serta penggunaan model infeksi berlainan untuk mengkaji gerakbalas perumah terhadap infeksi patogen. Projek tersebut melibatkan kerjasama tempatan (UM, USM, UPM) dan juga antarabangsa (USA, UK, Singapura). Penemuan novel termasuklah mekanisme baru bakteria untuk mengambilalih dan mendegradasikan faktor transkripsi gerakbalas perumah dan kelewatan gerakbalas imun perumah, pengenalpastian toksin maut yang merencatkan sintesis protein perumah dan kelewatan gerakbalas perumah diabetik yang lebih rentan terhadap infeksi. Kesemua penemuaan ini sedikit sebanyak telah menyumbang maklumat baru dalam usaha menangani kemudaratan yang disebabkan oleh patogen tersebut. Beberapa protein bakteria yang ditemui telah diuji sebagai calon vaksin dan diagnostik dengan paten yang berkaitan difailkan di Malaysia, Negara Thai, Singapura dan Australia. Tambahan pula, protein terpilih telah dinilai fungsinya sebagai prob mikroator protein melalui projek pra-pengkomersilan dengan syarikat bioteknologi Malaysia dan United Kingdom. Hasil penyelidikan beliau telah diterbitkan dalam jurnal antabangsa terkenal seperti PNAS. Jurnal PNAS USA adalah jurnal Q1 (5% teratas) yang mula diterbitkan pada tahun 1914 dan setakat ini hanya tiga (3) jurnal sahaja yang membawa nama penyelidik dan alamat institusi Malaysia. Artikel ini merupakan kertas PNAS pertama di mana co-corresponding author, ketua projek dan majoriti penulis adalah warganegara Malaysia. Kepakaran Prof. Dr. Sheila Nathan dalam bidang ini juga terserlah melalui jemputan sebagai pewasit makalah jurnal antarabangsa dan penilai saranan penyelidikan badan antarabangsa. Graduan pascasiswazah di bawah seliaan beliau juga telah berjaya ditempatkan sebagai felo pascadoktoral di makmal terkemuka di pelbagai negara.

Ulasan kepada makalah jurnal:

"Burkholderia pseudomallei suppresses Caenorhabditis elegans immunity by specific degradation of a GATA transcription factor"

Bakteria patogen menggunakan pelbagai mekanisme untuk hidup dalam perumah terinfeksi termasuk menekan keupayaan perumah untuk menentang serangan patogen. Mekanisme penekaan sistem keimunan yang baru oleh Burkholderia pseudomallei, penyebab penyakit melioidosis telah dikenalpasti. Melioidosis boleh menyebabkan maut di kalangan manusia dan haiwan di kawasan tropika. Di Malaysia, penyakit ini merupakan masalah besar terutamanya di Pahang dan Kedah serta ladang ternakan di Johor dan Selangor. Analisis gerakbalas keseluruhan transkriptom perumah Caenorhabditis elegans terhadap B. pseudomallei telah merungkaikan bahawa patogen ini menggunakan sistem rembesan jenis III untuk mengambil alih sistem proteosom-ubikuitin perumah dan memaksa perumah untuk mendegradasikan faktor transkripsinya sendiri iaitu faktor GATA. Faktor GATA amat penting untuk pengekspresan molekul pertahanan imun perumah, maka, degradasi faktor tersebut menekan kemampuan perumah untuk melancarkan tindakan antimikrob yang efektif. Hasilnya, bakteria akan menular dalam perumah dan akhirnya membawa kepada kematian manusia dan haiwan. Penemuan novel ini membuka peluang untuk membangunkan molekul terapi terhadap penyakit melioidosis yang sehingga kini masih bergantung kepada rawatan antibiotik. Dengan adanya molekul terapi ini, individu yang rentan kepada infeksi seperti pesawah padi, pesakit diabetes dan para askar di kawasan tropika dapat dirawat dengan cepat dan efektif lantas dapat mengurangkan kadar kematian yang tinggi di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

  • Hits: 1281
Hubungi Kami
  • Tel:

    03-8870 6559 / 6553 / 6546
  • E-mel:

    Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Hakcipta Terpelihara 2006 - 2021 © Anugerah Akademik Negara (AAN), Kementerian Pengajian Tinggi