Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim dilahirkan pada 28 Mac 1937 di Perak dan merupakan Sejarawan Malaysia yang terkenal dan salah seorang yang terlibat dalam penulisan Rukun Negara Malaysia. Beliau berkelulusan Ijazah B.A (Hons) dalam bidang sejarah daripada Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1960. Beliau seterusnya menamatkan pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1964. Minat yang mendalam dalam bidang sejarah membuatkan beliau meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di universiti yang sama dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1974. Beliau juga melakar sejarah yang tersendiri apabila merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendapatkan PhD dari Fakulti Sastera, Universiti Malaya.
Dr. Mohd Yusof Saari dilahirkan pada 21 Ogos 1979 dan kini beliau merupakan pensyarah di Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan , UPM. Pencapaian beliau dalam bidang akademik dan penyelidikan dapat dinilai berdasarkan projek penyelidikan, penerbitan dan pengiktirafan yang diperoleh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau telah terlibat dengan empat belas (14) projek penyelidikan dan enam belas (16) projek perundingan termasuk daripada Malaysian Nuclear Power Corporation, Khazanah Research Institute dan International Atomic Energy Agency dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lahir pada 1964 di Chemor, Perak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sastera dan PhD dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya (UM) dan beliau kini menjadi pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, UM.
Prof. Ir. Dr. Srimala A/P Sreekantan dilahirkan pada 1 Mar 1974 dan merupakan anak kelahiran Johor. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang Kejuruteraan Bahan pada tahun 1995 dan 1999. Beliau memperoleh PhD pada tahun 2001 dari Universiti Sains Malaysia dan University of Sheffield (Twinning Program). Kini, beliau berkhidmat sebagai Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia.
Tuan Hj. Syahrul Nizam Junaini dilahirkan pada 26 Julai 1977 dan berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Electronic Imaging and Media Communications (Multimedia Systems) dari Universiti Bradford, United Kingdom. Kini, beliau merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Prof. Dr. Debra Sim Si Mui dilahirkan pada 19 Mei 1958 dan memperoleh PhD dalam bidang Farmakologi dari University of Liverpool, United Kingdom sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1984. . Kini, beliau merupakan Kordinator PBL Fakulti di Unit Pembangunan Pendidikan dan Penyelidikan Perubatan (MERDU).
Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden dilahirkan pada 23 Julai 1972 dan berkelulusan BA (Hons) Graphic Design dari University of Central Lancashire, United Kingdom. Kemudian beliau meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan dalam bidang Teknologi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berbekalkan azam serta minat yang tinggi dalam bidang pengajaran, beliau melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Higher Education (Instructional Design) di University of Canterbury, New Zealand.
Prof. Madya Dr. Lim Hong Ngee dilahirkan pada 27 Ogos 1979 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang oleochemistry dan Ijazah Sarjana dalam bidang Catalysis dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Surfaktan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya memperoleh Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2010. Pada tahun 2012, beliau telah berjaya memperoleh Postgraduate Certificate in Higher Education in Teaching and Learning dari The University of Nottingham.